Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

PUTRAJAYA – Kaji selidik yang dijalankan oleh PKR mendapati Kerajaan Perpaduan dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam keadaan paling stabil ketika ini.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, kaji selidik yang sama juga mendapati populariti Perdana Menteri adalah tinggi semasa mula mengambil alih tampuk kerajaan setahun lalu dan kekal sedemikian sehingga Mei berikutan penyusutan nilai ringgit.

Menurut beliau, populariti Anwar kembali menunjukkan peningkatan setelah kerajaan melancarkan kertas-kertas dasar pada mulai Julai hingga September.

“Cuma dari September hingga November, peningkatan itu mendatar. Berdasarkan kaji selidik kami, ia menunjukkan bahawa keadaan adalah status quo,” katanya.

Rafizi berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Nasional Wanita PKR dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek dan Ketua AMK, Adam Adli Abd Halim.

Beliau yang juga Menteri Ekonomi mengulas mengenai laporan media mengenai hasil tinjauan Merdeka Center yang menyatakan penerimaan terhadap Anwar menurun selepas setahun pentadbirannya.

Sebaliknya, beliau berpandangan, pembangkang kini dalam keadaan kucar-kacir ekoran dakwaan mereka kononnya Kerajaan Perpaduan akan tumbang selepas enam pilihan raya negeri (PRN) tidak menjadi realiti.

“Sekarang ini rakyat dan penyokong mereka sendiri telah melihat bahawa kerajaan ini tidak akan jatuh dan akan kekal hingga lima tahun,” jelasnya.

Rafizi juga percaya bahawa penerimaan terhadap Anwar bagi tempoh setahun selepas mengetuai kerajaan adalah lebih baik berbanding tiga Perdana Menteri sebelumnya iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berhubung perbahasan pada Kongres Nasional PKR kali ini, Rafizi berkata, tumpuan adalah terhadap soal membina negara dan rakyat.

“Ia mungkin tidak panas, bosan. Itu juga sesuatu yang perwakilan kena biasakan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast