Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama penerima bantuan geran keusahawanan semasa hadir pada majlis pelancaran Karnival Usahawan Desa (KUD) Kebangsaan 2023 di Anjung Floria, Putrajaya. Foto SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri, 25 NOVEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyediakan peruntukan berjumlah RM9 juta untuk geran bantuan dan kemudahan pembiayaan perniagaan kepada usahawan luar bandar dan usahawan bimbingannya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu termasuk geran Program Sokongan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) kepada 658 orang usahawan luar bandar berjumlah RM3,291,282 bagi tempoh Januari sehingga 20 November 2023.

Menurut beliau, Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut menyalurkan pembiayaan menerusi Program Pensijilan Perniagaan – Business Enrichment, Standardization & Transformation (BEST) khusus bagi pensijilan Halal.

“Pada tahun ini, setakat 31 Oktober 2023, MARA telah membantu sebanyak 37 syarikat dalam mendapatkan pensijilan halal dengan
implikasi kewangan sebanyak RM553,000.

“Geran BEST telah diluluskan kepada 204 syarikat penerima berjumlah RM2,830,125 bagi tempoh tahun 2021 hingga 31 Oktober 2023.

“MARA menerusi Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) juga meluluskan pembiayaan pada tahun ini sebanyak RM5,160,000 kepada usahawan di bawah perniagaan rangkaian jenama seperti U.N.I Klinik, U.N.I Farmasi, U.N.I. Dental dan Prudence Consulting Group (PACTT) Firma Perakaunan Bertauliah,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang pada Majlis Perasmian Karnival Usahawan Desa (KUD) di Anjung Floria di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri selepas merasmikan karnival tersebut turut menyerahkan logo program kepada wakil usahawan sebagai simbolik kejayaan program ProSPEC Program yang dimulakan pada 2018 dengan peruntukan berjumlah RM31,000,000 dan telah berjaya mewujudkan usahawan baharu kepada 105 profesional seperti doktor, doktor gigi, ahli farmasi dan akauntan bertauliah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah hadir pada majlis pelancaran Karnival Usahawan Desa (KUD) Kebangsaan 2023 di Anjung Floria, Putrajaya. Foto SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri, 25 NOVEMBER 2023.

Sehingga kini, 117 outlet di bawah jenama tersebut telah dibuka serta membuka peluang pekerjaan kepada 538 pekerja tempatan dengan jualan terkumpul keseluruhan syarikat adalah RM162,000,000.

Pada tahun ini, ProSPEC menyasarkan tambahan 30 outlet termasuk di Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, KUD@Putrajaya 2023 yang berlangsung selama lima hari sejak Rabu sehingga esok menjadi platform terbaik bagi usahawan desa yang mendapat bimbingan KKDW, agensi dan usahawan luar bandar berpotensi mendapat khidmat nasihat dalam meningkatkan produktiviti dan memperkembangkan perniagaan.

Program berkenaan menyasarkan penyertaan bahagian-bahagian dari kementerian dan agensi yang turut menyediakan program pengukuhan keusahawanan dan pembiayaan kewangan kepada usahawan desa.

Bagi merancakkan program kali ini, seramai lebih 800 usahawan desa yang terdiri daripada pelbagai kategori termasuklah makanan, perkhidmatan, tekstil dan peruncitan, fesyen pakaian, produk kecantikan dan kesihatan, kraftangan dan produk pertanian menjadi fokus utama pelaksanaan KUD @ Putrajaya.

KUD anjuran KKDW kali ini membawakan kelainan kepada pengunjung dengan menerapkan inisiatif memperkenalkan produk pelancongan luar bandar atau Rural Tourism sebagai tarikan utama.

Karnival ini turut melibatkan 10 agensi di bawah KKDW iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), FELCRA Berhad, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

KUD @Putrajaya menyasarkan transaksi jualan sehingga RM10 juta yang meliputi jualan tunai, padanan perniagaan dan tempahan serta menarik sehingga satu juta pengunjung sepanjang program berlangsung.

Penganjuran KUD @ Putrajaya ini diharapkan memberi impak positif kepada produk keluaran usahawan tempatan bukan sahaja daripada segi jumlah jualan, sekaligus memberi persepsi yang positif bahawa kualiti produk usahawan tempatan khususnya usahawan desa adalah setanding dengan produk yang diimport dari luar negara. – MalaysiaGazette