Calon Barisan Nasional (BN), Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (tengah) selepas bersarapan pagi bersama penduduk kampung sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 Kemaman di Chukai, Terengganu. Foto FAREEZ FADZIL, 25 NOVEMBER 2023.

KEMAMAN – Kehidupan selepas pencen jawatan Panglima Angkatan Tentera (PAT) sudah tentu menjanjikan keselesaan dan mampu untuk bercuti bila-bila masa di luar negara untuk menikmati kehidupan.

Namun Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memilih untuk terus berbakti kepada masyarakat kerana merasakan masih ada urusan yang belum beliau selesaikan.

Justeru beliau memilih tawaran untuk menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman kerana merasakan itu adalah cara Tuhan untuk mengerakkan hatinya untuk memberi semula apa yang dinikmati kepada rakyat.

“Dari segi ketenteraan, tak ada keraguan, saya memang gembira. Saya nak pergi mana, nak buat apa semua cukup, tak perlu susah. Tapi masih ada unfinish business seperti dalam perkhidmatan saya cuba mengetengahkan beberapa isu yang ada kaitan kesejahteraan veteran.

“Saya berada di satu peringkat untuk memberi semula kepada rakyat. Itu yang sepatutnya saya lakukan. Saya mengambil cabaran dan menerimanya sebagai satu perkara yang harus dibuat. Saya tidak mahu menyesal.

“Tilik punya tilik semua benda berlaku dengan sebab untuk saya, ini adalah salah satu sebab. Tuhankan mengerakkan hati kita untuk melakukan sesuatu. Itu pilihan saya. Saya memilih untuk berbakti dan memberi balik,” katanya..

Menurut Raja Mohamed Affandi, pada awalnya keputusan beliau untuk terjun ke dalam bidang politik dipersoalkan oleh isteri dan anak-anaknya kerana menganggap beliau telah mencapai puncak kerjaya dengan jawatan sebagai Panglima Angkatan Tentera.

Bagaimanapun bagi Raja Mohamed Affandi, beliau tidak mahu terus tinggal sebagai ‘sejarah’ sebaliknya mengunakan masa yang ada untuk berbakti kepada masyarakat dan ia merupakan satu pengorbanan oleh beliau dan keluarga.

“Isteri saya bila saya beritahu, dia kata, awak fikir betul-betul lah. Awak dah rehat, nak balik semula buat semua ini. Sama macam anak saya, ‘abah, abah dah ada semua’. Anak pertama kata, ‘abah buatlah’. Anak perempuan ketiga skeptikal, dia kata, ‘saya terimalah apa-apa sahaja pun’.

“Saya fikir dalam-dalam dan satu hari saya bawa mereka  sarapan dan beritahu telah buat keputusan. Apa yang saya perlukan adalah sokongan. Saya mahu berbakti. Itu sahaja. Untuk berbakti kena ada pengorbanan, awak kena mainkan peranan awak dan saya main peranan saya.

“Saya beritahu mereka, saya sudah jadi sejarah sekarang. Nampak saya secara fizikal hidup. Tapi saya sudah jadi bahan sejarah. Tinggal masa untuk gantung di muzium. Yang penting siapa dia? Generasi akan datang. Cucu saya, anak-anak mereka. Itu yang penting. Jadi apa yang perlu saya lakukan, saya mesti lakukan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam program SkopMG yang boleh ditonton di semua platform media sosial MalaysiaGazette.

Dalam PRK yang akan berlangsung pada 2 Disember ini Raja Mohamed Affandi berdepan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.

Bekas Panglima Angkatan Tentera ke-19 itu berkata, beliau dapat merasai penerimaan pengundi terhadap dirinya selepas lebih tujuh hari berkempen. – MalaysiaGazette