Zafrul Sungai Kandis
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Sektor automotif adalah kuasa ekonomi yang strategik, dan dedikasi dalam membangunkan sektor ini adalah penting kerana ia berpotensi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab automotif di rantau ASEAN.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz melalui ucapan di Mesyuarat Agung Tahunan ke-42 Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) berkata, komitmen persatuan itu dalam membentuk ekosistem pertumbuhan yang bernilai tinggi adalah amat dihargai.

“Dalam dunia yang sedang berubah menuju amalan yang lebih lestari, peluang untuk pertumbuhan berkembang dengan pesat terutamanya, bidang tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan perkhidmatan sokongan bagi kenderaan elektrik (EV).

“Komitmen Pekema terhadap inovasi dan kelestarian telah terbukti melalui tindakan proaktifnya dalam memajukan mobiliti elektrik,” kata beliau.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan menyambut baik usaha Pekema yang menjalinkan kerjasama dengan syarikat EV dari China, Dongfeng Motor dalam membawa masuk model EV pertama dengan pemanduan di sebelah kanan pada pertengahan tahun depan, selain bekerjasama dengan dua lagi syarikat EV China.

Katanya, bagi kenderaan elektrik (EV), syarikat-syarikat Permit yang Diluluskan (AP) Terbuka boleh memainkan peranan penting dalam meningkatkan permintaan dan jualan ke atas EV di Malaysia.

Berdasarkan statistik MITI, bilangan EV yang diluluskan AP oleh MITI dan diimport oleh syarikat AP Terbuka sejak tahun 2020 sehingga Oktober 2023 adalah sebanyak 729 unit.

Angka ini meliputi 533 unit EV baharu serta 196 unit EV terpakai dan ia hanyalah 0.23 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan yang diimport oleh syarikat AP Terbuka di sepanjang tempoh tersebut.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut menyeru ahli Pekema untuk mengambil peluang daripada penambahbaikan garis panduan pelantikan syarikat permit import (AP) baharu bagi EV.

Kapasiti enjin setara melebihi 1,800 cc untuk kereta dan melebihi 250 cc bagi motosikal diberi pengecualian sementara untuk kenderaan EV yang diimport sepenuhnya (CBU) sehingga 31 Disember 2025.

“Jadi, sebenarnya masih banyak ruang untuk ahli-ahli Pekema meningkatkan penerimaan kenderaan EV di negara kita,” jelas beliau.

Menyentuh mengenai perbincangan mengenai AP seringkali menjadi tumpuan media, beliau berkata kerajaan sedar bahawa terdapat perbezaan pendapat mengenai keperluan AP ini.

“Walaupun sesetengah pihak berpendapat bahawa penghapusan keperluan AP akan menggalakkan persaingan yang sihat, kita juga harus mengambilkira sokongan kepada pemain industri automotif bumiputera,” katanya.

Oleh itu dalam usaha untuk menggalakkan pertumbuhan industri automotif secara inklusif, kerajaan mendorong usahawan bumiputera agar terlibat dalam rangkaian pembekalan automotif.

“Saya ingin menekankan bahawa kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk menghapuskan sistem Permit Import (AP) kenderaan CBU dan pengecualian duti import kenderaan elektrik pada masa ini.

“Sebarang perubahan dasar sudah tentu akan mengambilkira pandangan para pemegang taruh bagi memastikan kepentingan semua pihak terpelihara,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan sedang merancang menganjurkan kongres ekonomi bumiputera pada Januari tahun depan, yang mana matlamatnya adalah untuk melakarkan laluan baharu merangkumi agenda bumiputera, yang lebih adil, lebih saksama dan lebih inklusif.

“Usaha ini bertujuan memperkasakan lebih ramai usahawan dan perniagaan bumiputera kecil hingga sederhana.

“Selaras dengan ini, pemegang AP harus mempertimbangkan untuk menggunakan program pembiayaan sedia ada yang direka bagi usahawan automotif bumiputera mengembangkan dan mempelbagaikan perniagaan mereka,” tambahnya. – Bernama