Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih belum menerima maklumat sama ada peguam bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar telah memfailkan permohonan untuk menyemak hukuman mati di mahkamah.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peguam Sirul Azhar perlu memfailkan permohonan tersebut atas sabitan hukuman mati kerana membunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

“Belum ada apa-apa maklumat,” katanya kepada pemberita di Kongres Nasional PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR mengulas mengenai perkembangan melibatkan Sirul Azhar yang kini berada di Australia setelah hukuman mati mandatori dimansuhkan di negara ini.

Pada masa yang sama, Saifuddin Nasution mengesahkan bekas pegawai UTK, Azilah Hadri yang turut disabitkan dengan hukuman mati atas pertuduhan yang sama telah mengemukakan permohonan tersebut melalui peguamnya.

Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan Sirul Azhar bahawa dia dibayar RM1 juta untuk menutup mulut berhubung kes pembunuhan Altantuya.

“Hanya dia boleh jawab kenapa sekarang dibangkitkan, apa tujuan sebenar,” jelasnya.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, penguat kuasa KDN bertindak ‘mengambil’ buku-buku yang didakwa mempunyai kaitan komunisme di kedai buku Gerakbudaya baru-baru ini ekoran aduan yang dibuat oleh orang awam.

Menurut beliau, buku-buku tersebut seterusnya akan diteliti oleh panel untuk menentukan sama ada kandungannya mempunyai unsur seperti yang dinyatakan dalam aduan.

“Kritik dan pandangan itu saya terima. KDN juga harus dilihat peka dan sensitif terhadap aduan awam, kita kena cari jalan seimbang di situ,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast