anwar ibrahim
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi pergulungan Kongres Nasional Tahunan Keadilan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 26 NOVEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa Kerajaan Perpaduan tidak boleh menerima teguran dan kritikan terhadap dasar serta kelemahannya.

Presiden PKR itu berkata, pentadbirannya menerima dengan baik teguran dan kritik namun bersikap tegas apabila melibatkan fitnah atau tuduhan berbaur perkauman dan memainkan sentimen agama.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak boleh mengizinkan anasir-anasir yang boleh menyebabkan berlaku ketegangan sosial antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Teguran kita terima, malah dalam sidang hari ini perwakilan lebih berani memberi teguran,” katanya ketika berucap menggulung perbahasan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2023 di Pusat Kovensten Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau membidas pihak tertentu yang menuduhnya sebagai ektremis dan nasionalis Melayu ekoran hasratnya memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan.

“Apakah kamu tidak faham Perlembagaan? Kamu tidak tahukah negara ini mesti hidup dengan satu keputusan?

“Ini agenda nasional bukan agenda Melayu,” jelasnya.

Sehubungan itu, Anwar memberitahu, beliau tidak akan bertolak ansur dalam perkara tersebut.

“Mana mungkin merdeka sudah lama masih tergagap-gagap berbicara bahasa kebangsaan.

“Saya tak boleh terima, masih nak tulis surat kepada Perdana Menteri dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Pada masa yang sama, Anwar mengingatkan mereka bahawa kerajaan akan melaksanakan program peningkatan mutu penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan di negara ini.

“Begitu juga dengan kemudahan-kemudahan bagi bahasa Tamil, Cina dan suku kaum,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast