PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan membenarkan mana-mana pihak mempergunakan agama dan perkauman bagi memecah belalahkan keharmonian kaum di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, budaya kafir mengkafir antara umat Islam telah wujud dalam segelintir masyarakat yang boleh membawa perpecahan lebih besar.
“Jika kita terus bertolak ansur terhadap budaya gejala ini, negara akan terus rapuh dan akhirnya tidak akan bertahan. Kerana itu juga, selagi kita (kerajaan perpaduan) berkuasa, kita tidak izin negara ini diperkotak-katikkan atas nama agama dan kaum,” katanya pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, rakyat tidak sepatutnya diheret ke kancah perkauman sama seperti yang berlaku di negara Barat dengan momokan ancaman Islam.
Katanya, di Malaysia pula rakyat dimomokkan dengan DAP mempunyai muslihat dalam mengancam Melayu dan Islam.
“Sikap tercela bukan semata di kalangan Melayu dan Islam tetapi juga suara perkauman segelintir minoriti atau yang menguarkan Perkara 153 Perlembagaan sebagai diskriminasi dan penganiyaan kaum minoriti. Mereka tidak peduli anjakan menoktahkan kemiskinan tegar.
“Ada juga canang isu meritokrasi, sementara diakui keperluan mengiktiraf merit, janganlah ketepikan isu kesaksamaan peluang,” katanya. – MalaysiaGazette