Mayat Muhammad Danish Mohd Faizal, 2, ditemui dalam longkang besar di Taman Desa Baru berhampiran Hospital Melaka oleh orang awam, kira-kira 1.3 kilometer dari lokasi kejadian 3.25 petang semalam.

MELAKA – Selepas hampir 18 jam operasi mencari, mayat Muhammad Danish Mohd Faizal, 2, yang dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Goodwood, Bukit Palah, di sini ditemui terapung kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Penguasa Bomba Tc Zulkhairani Ramli berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui dalam longkang besar di Taman Desa Baru berhampiran Hospital Melaka oleh orang awam, kira-kira 1.3 kilometer dari lokasi kejadian 3.25 petang semalam.

“Selepas hampir 18 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan, kita terima maklumat awam satu objek timbul di tebing longkang selebar 4.6 meter dan dua meter dalam di Taman Desa Baru kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

“Hasil pemeriksaan anggota di lokasi mendapati objek tersebut adalah mayat kanak-kanak dengan kesan kecederaan di kepala namun jasad dalam dalam keadaan sempurna,” katanya ketika ditemui media di lokasi di sini hari ini.

Zulkhairani Ramli

Mengulas lanjut beliau berkata, pasukan bomba berdepan cabaran apabila operasi SAR melalui longkang yang sempit dan dipenuhi air.

“Terima kasih juga pada penduduk dan pasukan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang turut membantu sehingga lewat malam tadi untuk mencari mangsa,” katanya.

Semalam, dalam kejadian kira-kira 3.25 petang itu, Muhammad Danish, anak ketiga daripada empat beradik itu tiba-tiba hilang ketika keluarganya sedang berniaga di kawasan berkenaan.

Muhammad Danish Mohd Faizal

Waktu kejadian, hujan lebat dan air hujan hampir memenuhi longkang sedalam kira-kira 1.3 meter di belakang gerai ibunya, Nor Amiza Che Kar, 38 yang menjual nasi kerabu di situ sejak tiga tahun lalu.

Sebelum itu, Danish dilihat ada bermain di kawasan berhampiran dengan kakak dan abangnya namun kanak-kanak itu tiba-tiba tidak kelihatan dan hanya menjumpai selipar dipakainya di kawasan rumput tepi longkang. – MalaysiaGazette.