Najib Bakar penjawat Awam PKR
Najib Bakar membahaskan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2023 di PICC, Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – PKR akan berdepan kesukaran bagi meyakinkan penjawat awam untuk menyokong parti itu sekiranya pemimpin-pemimpinnya bersikap angkuh dengan kuasa yang dimiliki ketika ini.

Wakil PKR Wilayah Persekutuan, Najib Bakar berkata, mereka seharusnya sedar bahawa kuasa tidak kekal selama-lamanya kerana kerajaan boleh bertukar selepas pilihan raya umum (PRU).

“Jangan ada yang angkuh, bila dah jadi kerajaan, rasa boleh buat sesuka hati.

“Penjawat awam ni dia perhatikan saja, macam istilah sekarang ni dia simpan resit,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Beliau turut menasihatkan semua pemimpin dan ahli PKR memperbetulkan niat menyertai politik dan tidak terlalu berharap untuk dipilih menjadi calon pada pilihan raya.

Najib berpandangan, kini ramai yang ingin menjadi calon kerana peluang untuk menang adalah lebih cerah setelah PKR menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Ramai yang berebut jadi calon, nak ada jawatan nak ada pemandu, nak ada orang tolong bukak pintu kereta.

“Kena betulkan niat kenapa masuk parti politik, jangan letakkan niat untuk dijadikan kerjaya,” jelasnya.

Beliau memberitahu, banyak kerjaya lain yang boleh diceburi dan mereka yang tidak dipilih menjadi calon masih boleh menyumbang kepada parti dengan memanfaatkan kepakaran dan kemahiran masing-masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast