Sabah Sarawak Antakor Rasam
Wakil PKR Sabah, Antakor Rasam membahaskan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2023 di PICC, Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Sabah dan Sarawak boleh diberi julukan ‘jutawan fakir’ kerana mempunyai kadar kemiskinan tegar tertinggi di negara ini walaupun kaya dengan sumber alam semulajadi.

Wakil PKR Sabah, Antakor Rasam berkata, selepas 60 tahun, Sabah dan Sarawak masih tercari-cari nikmat kemerdekaan dan manfaat kebersamaan dalam Malaysia.

“Jalan raya kami di Sabah ‘cantik’ macam di bulan. Kereta api kami pun boleh tahan. Dari dulu sampai sekarang begitu-begitu juga.

“Kerana itu sebablah Sabah dan Sarawak ini nakal sikit, selalu mengungkit Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Antakor menambah, antara perkara yang sering diungkit adalah penambahan kawasan Parlimen di dua wilayah berkenaan.

Beliau turut mencadangkan agar MA63 yang merupakan dokumen penting dalam pembentukan Malaysia dipelajari oleh semua rakyat.

“Saya mencadangkan MA63 dimasukkan dalam kurikulum pendidikan negara supaya tidak ada curiga di antara kita,” jelasnya.

Antakor berkata, sambutan Hari Malaysia yang diadakan setiap 16 September mengikut giliran di Sabah dan Sarawak perlu digilirkan juga dengan negeri-negeri di Semenanjung.

Beliau juga mencadangkan agar kekayaan negara diagihkan secara saksama kepada Sabah dan Sarawak, selaras dengan tarafnya selaku wilayah-wilayah dalam Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast