BANGI – Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) memberi tempoh tiga hari kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyahbekukan akaunnya yang dibekukan sejak 23 November lalu.
Peguam Aman Palestin, Rafique Rashid berkata, sekiranya badan penguatkuasaan itu gagal berbuat demikian tindakan undang-undang akan diambil.
Menurutnya, satu surat telahpun diutus kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki serta Pengarah Bahagaian Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram AMLA SPRM berhubung perkara tersebut.
“Aman Palestin juga menggesa ahli-ahli Parlimen membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat sama ada kerajaan ataupun pembangkang.
“Isu derma dan bantuan kepada Palestin adalah isu sejagat…kerajaan mesti menjelaskan mengapakah agensi penguatkuasaan di bawah kerajaan mengambil tindakan membekukan akaun bagi aktiviti-aktiviti kemanusiaan,” katanzya pada sidang media, di sini, hari ini.
Dalam pada itu Rafique mendakwa, kenyataan media yang dibuat oleh SPRM pada 23 November lepas pada perenggan ketiga jelas berniat jahat dan sengaja diterbitkan untuk membina persepsi negatif terhadap Aman Palestin.
Ia seolah-olah telah menghukum Aman Palestin bersalah menyeleweng dana RM70 juta yang telahpun dinafikan.
Tambah beliau, kenyataan-kenyataan SPRM berkaitan dengan kes itu ternyata tidak cermat, tidak teliti, tidak boleh dipercayai dan tidak berintegriti.
“SPRM adalah sebuah agensi penyiasatan. Sebagai penyiasat, SPRM mestilah bertindak adil dalam siasatan…SPRM tiada kuasa menghukum…itu tugas dan bidang kuasa sistem kehakiman di mahkamah.
“Tindakan SPRM yang mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa sebegini rupa tanpa membuat amaran kepada masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi, telah menimbulkan pelbagai tohmahan dan fitnah serta menyuburkan persepsi negatif seolah-olah berkomplot dengan pengamal media sosial yang tidak bertanggung-jawab.
“Ini membawa impak besar terhadap Aman Palestin, ahli lembaga pengarahnya serta keluarga mereka,” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan, SPRM mengesahkan membekukan 41 akaun bank syarikat pertubuhan Aman Palestin berjumlah RM15,868,762.
Pembekuan itu dilakukan selepas SPRM menjalankan siasatan terhadap dakwaan Aman Palestin menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.
Siasatan awal SPRM mendapati, penyaluran dana awam kepada Aman Palestin ada yang digunakan untuk membeli aset atas nama syarikat proksi.
Perincian penyaluran dana membabitkan pembelian aset atas nama syarikat proksi itu masih dalam siasatan.- MalaysiaGazette
Lain macam melawan Aman Palestin. Hilang trrus imej “aman” tu. Kan mudah kalau dulu awal2 buat financial audit dan statement clearkan semua isu. Sekarang dah nasuk siasatan, nak ugut2 pulak.