Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

KEMAMAN – Hanya Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengetahui ‘agenda besar’ yang dirancang oleh parti itu ketika membuat keputusan meletakkan Menteri Besar Terengganu sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden Pas berkata, beliau sendiri tidak dimaklumkan oleh Tuan Ibrahim mengenai agenda terbabit.

“Saya rasa itu kena tanya dia baliklah. Apa yang dimaksudkan dengan agenda besar itu? Allahu a’lam. Dia pun tak pernah maklum kepada saya tentang agenda besar itu.

“Saya naib presiden, tapi ada perkara hanya naib presiden dan presiden sahaja (yang tahu), ada perkara-perkara presiden sahaja (yang tahu) dan macam-macam kaedah yang diamalkan dalam parti. Jadi kena tanya dialah,” kata Ahmad Samsuri.

Beliau berkata demikian dalam program Skop MG yang disiarkan di semua platform media sosial MalaysiaGazette.

Media sebelum ini melaporkan, Pas bukan sekadar ingin mengekalkan kemenangan di Parlimen Kemaman sebaliknya mempunyai agenda yang lebih besar untuk calonnya iaitu Ahmad Samsuri.

Tuan Ibrahim berkata, parti itu mengharapkan Menteri Besar Terengganu itu dapat menyumbang sesuatu kepada negara, sebagaimana yang dilakukan di negeri ini.

Harapan itu disandarkan kepada Ahmad Samsuri kerana beliau mempunyai rekod yang baik sepanjang mentadbir Terengganu dan memenuhi kriteria ditetapkan.

Sementara itu Ahmad Samsuri enggan mengulas pandangan penganalisis politik Rusdi Omar daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) bahawa Pas meletakkan beliau sebagai calon Parlimen mungkin bagi menampilkan calon perdana menteri parti itu pada masa depan.

“Wallahu A’lam saya sukar memberi komen berkaitan diri kita sendiri. Biasa kita komen berkait dengan diri orang. Saya jadi pensyarah agak lama, saya memberi markah kepada anak-anak murid saya dalam peperiksaan, tutorial, tugasan.

“Pada waktu menjadi menteri besar dan soalan yang pertama ditanya oleh wartawan (genap) tahun pertama, beri markah macam mana? Saya kata tak boleh beri markah kepada diri sendiri. Sama juga, saya tak boleh beri ulasan,” katanya sambil ketawa.

Ahmad Samsuri merupakan bekas Ketua Jabatan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Leeds, United Kingdom.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast