Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Chong Zhemin (PH-Kampar) mengheret dirinya sendiri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen ekoran isu ventilator berkait dengan kenyataan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN- Ayer Itam) sebelum ini.

Menurut Zhemin, langkah itu perlu diambil bagi merungkai pihak mana yang bertindak mengelirukan Dewan Rakyat.

“Saya minta supaya Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Tan Sri Johari Abdul) supaya usul untuk merujuk diri saya sendiri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana dalam Peraturan Mesyuarat tidak ada apa-apa yang menghalang seseorang Ahli Parlimen untuk merujuk diri sendiri ke jawatankuasa tersebut,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Ia ekoran Zhemin yang mendakwa Ka Siong terlihat secara langsung dalam kontrak pembelian ventilator, sebelum ini.

“Kedua-dua kenyataan ini bercanggah maka hanya seorang sahaja yang bercakap benar. Maka oleh kerana Ayer Itam yang bertanggunjawab ketika itu, maka Wee Ka Siong bercakap benar, bermakna saya telah membuat satu kenyataan yang mengelirukan Dewan maka saya telah buat usul kepada pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk merujuk diri sendiri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” katanya.

Pada sidang media sama, Zhemin berkata, isu ini bukan hanya melibatkan duit rakyat tetapi lebih kepada kepentingan nyawa pesakit Covid-19 di negara ini.

“Kerajaan kena siasat isu ini dan siapa yang runding di mana Ayer Itam kata dia tidak runding tapi dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara memang dia terlibat dalam rundingan.

“Jadi saya harap Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan menyiasat perkara ini dan berikan satu fakta yang betul kepada Dewan Rakyat dan 32 juta rakyat Malaysia,” katanya.

Semuanya bermula apabila Zhemin memohon untuk memberi ruang kepadanya bagi menjelaskan standing order (peraturan majlis mesyuarat) selain memetik sidang pada 20 November lalu mengenai Ka Siong yang menyatakan dalam hansard berhubung isu ventilator.

Zhemin juga memohon masa selama seminit untuk menjelaskannya, namun Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Noor menegaskan, ia tidak boleh dibahaskan.

Pada 20 November lalu, Ka Siong mengambil kesempatan membersihkan namanya yang terpalit dengan siasatan pembelian 104 unit ventilator yang gagal berfungsi ketika negara berdepan pandemik Covid-19 pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat.

Kesempatan itu diambil ketika beliau mencelah pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Pembekalan 2024 bagi Kementerian Kesihatan berikutan namanya terkait dengan kontroversi perolehan alatan terbabit.

“Pertama, punca kuasa pembelian ventilator sebanyak 800 unit itu datang daripada Majlis Keselamatan Negara dan Kabinet pada 25 Mac 2020, bukan Wee Ka siong.

“Saya bukan tolong belikan ventilator itu tetapi bantu mengangkut balik empat perkara iaitu pelitup muka, ventilator, 100 katil bagi unit rawatan rapi (ICU) dan peralatan perlindungan peribadi (PPE),” katanya.

Terdahulu, pada sesi perbahasan, Zhemin meminta tindakan sewajarnya diambil terhadap bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang sepatutnya bertanggungjawab susulan pembelian alatan yang rosak itu dibuat ketika beliau menerajui KKM.

Beliau yang turut mendakwa ingin ‘membela’ Ka Siong memberitahu, pembelian alatan berkenaan merupakan kegagalan KKM, namun apabila bekas Menteri Pengangkutan itu disiasat, jelasnya, ia tindakan tidak berasas. – MalaysiaGazette