KUALA LUMPUR – Seorang bayi lelaki rentung manakala dua lagi melecur dan cedera apabila kereta yang dinaiki terbabas dan melanggar tiang lampu lalu terbakar di Jalan Gua Musang – Kuala Krai, Kelantan awal pagi ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kelantan berkata,pihaknya yang menerima panggilan melalui sistem MERS memaklumkan mengenai insiden itu pada jam 4.04 pagi mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai dan Sungai Durian ke lokasi kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi hadapan BSN (Bank Simpanan Nasional) Kuala Krai, Jln Gua Musang Kuala Krai, Kelantan, Komander lapor benar kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah kereta Honda Jazz yang terbabas melanggar tiang lampu mengakibatkan kereta tersebut terbakar,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
“Kemalangan juga melibatkan tiga orang mangsa dengan seorang lelaki dewasa melecur seluruh tubuh, seorang mangsa perempuan cedera ringan manakala seorang bayi lelaki yang terperangkap dijumpai rentung di dalam kereta,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Menurutnya, mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan dan polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette