Penduduk setempat masih melalui jalan yang rosak akibat banjir walaupun jalan telah di tutup ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang. Foto WAN NABIL NASIR, 27 NOVEMBER 2023.

BENTONG – Pihak berwajib seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) giat melaksanakan kerja-kerja baik pulih cerun di Bukit Ringgi, di sini, selepas kawasan itu banjir puing, kelmarin.

Tinjauan MalaysianGazette mendapati laluan dari Balai Polis Bukit Tinggi ke Janda Baik telah ditutup buat sementara waktu dan difahamkan kerja-kerja baik pulih akan mengambil masa selama sebulan.

Jalan terbabit terjejas teruk dan mengundang bahaya kepada pengguna, lebih-lebih lagi pada musim hujan.

Hujan berterusan pada Sabtu lalu menyebabkan berlaku hakisan dan ketidakstabilan di bahagian hulu saliran, mengakibatkan belakunnya kepala air yang membawa batu-batu dan enapan.

Ini menyebabkan lintasan jalan yang dibina tersumbat dan aliran Sungai Tanglir melimpah ke jalan.

Ketika ini kerja-kerja penyelenggaraan sungai serta pembersihan sisa batuan dan enapan di kawasan ini sedang dilakukan dengan menggunakan jentolak.

Kerja-kerja pengalihan batu yang menutup dan merosak jalan sedang di lakukan oleh pihak berkuasa ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang. Foto WAN NABIL NASIR, 27 NOVEMBER 2023.

Kini hanya satu jalan boleh digunakan untuk ke Kampung Janda Baik iaitu dari Jalan Lama Bukit Tinggi iaitu laluan menghala ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tinggi.

Walaupun penutupan jalan telah diumumkan Jabatan kerja raya (JKR), namun penduduk setempat, sama ada berjalan kaki atau menunggang motosikal, masih menggunakan laluan tersebut memandangkan laluan alternatif agak jauh, hampir 10 kilometer.

Penduduk setempat masih melalui jalan yang rosak akibat banjir walaupun jalan telah di tutup ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang. Foto WAN NABIL NASIR, 27 NOVEMBER 2023.

Pegawai pelbagai agensi kerajaan termasuklah JKR, JPS, Pejabat Tanah Bentong, Jabatan Hutan telah berada di lokasi bagi memantau insiden yang disifatkan terburuk dalam tempoh 18 tahun.

Kawasan kawasan banjir yang melibatkan sebahagian Kampung Bukit Tinggi juga telah dibersihkan semalam oleh pihak berkuasa yangh dibantu anggota bomba sukarela Perting, Bentong dan orang awam.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, pelbagai kesimpulan telah dibuat namun terpulang kepada pihak berwajib menyiasat.

“Kita semua memang terkejut, nasib baik tidak sampai ada yang hilang nyawa. Insiden ini memang sangat teruk dan paling buruk setakat ini. Bukan tidak pernah berlaku tapi tidak seteruk ini. Banyak harta benda rosak, kerja seperti berniaga tepi jalan semuanya terhenti.

“Lokasi ini juga berdekatan tempat peranginan terkenal Janda Baik, ramai juga lepas insiden ini berpatah balik dan batalkan percutian mereka. Tengok jalan ini, teruk sangat. Kalau hujan lagi, terus mendap ini. Sabtu lepas air masuk dalam kedai dan rumah penduduk,” ujarnya.

Keadaan jalan yang rosak dan tanah runtuh akibat banjir ketika tinjauan udara lensa Malaysia Gazette di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang. Foto WAN NABIL NASIR, 27 NOVEMBER 2023.

Semalam Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau telah mengarahkan pihak berwajib untuk menyiasat punca banjir puing di Bukit Tinggi susulan terdapat dakwaan mengatakan kejadian berlaku disebabkan kegiatan penerokaan haram di sekitar kawasan hutan simpan di situ. – MalaysiaGazette