ISKANDAR PUTERI – Kes jenayah membabitkan golongan belia berusia bawah 40 tahun di Johor meningkat daripada 1,970 kes tahun lalu kepada 2,404 kes bermula 1 Januari sehingga Oktober laluKes jenayah belia meningkat di Johor
Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kes kecurian membabitkan belia merekodkan peningkatan sebanyak 862 kes, diikuti seksual (692 kes), vandalisme (239 kes), samun (166 kes), samseng/kongsi gelap (10 kes) dan buli (lima kes).
“Manakala menurut rekod bagi lumba haram pula meningkat kepada 421 kes sehingga Oktober lalu berbanding hanya 270 kes tahun lalu. Tangkapan kesalahan mabuk dalam kalangan belia turut meningkat kepada 492 kes berbanding hanya 470 dalam tempoh yang sama.
“Tangkapan kes jenayah dadah dalam kalangan belia turut meningkat kepada 9,942 kes (naik 17.21 peratus) berbanding tahun lalu,” katannya ketika menjawab soalan Marina Ibrahim (DAP- Skudai) pada Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-15, di Kota Iskandar, hari ini.
Selain itu katanya, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor telah melaksanakan Kem Belia Sejahtera yang merupakan inisiatif intervensi sosial yang memberi pemahaman dan kesedaran kepada golongan belia.
“Tujuan kem ini diadakan adalah untuk memberitahu dan menyedarkan golongan ini mengenai bahaya sekiranya terjebak dalam gejala sosial dan aktiviti tidak sihat.
“Program ini telah dilaksanakan sebanyak satu siri dengan penglibatan seramai 60 orang pelajar sekolah,” katanya.
Melalui pelaksanaan program di bawah Bahagian Pembangunan Rakan Muda, pada tahun 2023 sebanyak 71 program telah dilaksanakan di seluruh negeri Johor yang melibatkan penyertaan 30,000 orang.
Pelaksanaan program dan aktiviti melalui 10 Gaya Hidup Rakan Muda yang telah diberi nafas baru ini juga adalah berdasarkan kepada penterjemahan minat dan kecenderungan positif anak muda bagi memastikan mereka dapat mengisi masa senggang dengan aktiviti yang berfaedah.
Ini sekaligus akan dapat mengelakkan penglibatan mereka dalam aktiviti yang tidak sihat serta pengaruh-pengaruh negatif. -MalaysiaGazette