Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin ketika Sesi Penggulungan Parlimen Mahasiswa Kebangsaan 2023 di Dewan Persidangan, Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 24 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak dapat mengawal peribadi dan kelakuan mana-mana pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD), kata menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ia kerana perkara tersebut di luar bidang kuasa kementerian itu.

“Dia (pemegang PhD) mungkin pakar bidang dia tapi tidak mendalam dalam perkara lain,  atas sebab itulah kita berhadapan dengan perkara yang dibangkitkan oleh beberapa ahli Parlimen.

“Amat malang., lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan mereka yang keluar dari universiti ternama seperti USM.

“Tapi apa-apapun kita akan lebih ketat selepas ini dalam melaksanakan program PhD dan sebagainya,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa, hari ini.

Khaled berkata demikian ketika menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bertanyakan kualiti pemegang seorang PhD sehingga menjadi momokan orang ramai.

“Saya cuma mintak KPT adakan pusat akreditasi yang mana boleh kawal PhD yang dikeluarkan.

“Semua boleh dapat (PhD) tapi kualitinya dipersoalkan hingga jadi momokan orang luar, MP yang ada PhD  kaitkan DAP dengan parti komunis,” kata Rayer.

Ketika sesi perbahasan Rayer menggesa Khaled memeriksa pemegang PhD yang dikeluarkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM).

Ia susulan seorang lulusan berkelulusan PhD mengeluarkan kenyataan mengaitkan pemimpin DAP dengan komunisme.

“Kita tahu seorang yang berkelulusan PhD buta sejarah hingga mengeluarkan kenyataan mengaitkan pemimpin DAP dengan komunisme.

“Tolonglah periksa, pantau USM dan semua universiti untuk memastikan hanya mereka yang berkelayakan memperoleh PhD. Kalau tidak tahu sejarah negara kita pun, macam mana boleh beri PhD,” katanya.

Rayer bagaimanapun tidak menyatakan individu yang berkelulusan PhD tersebut.

Dalam rakaman video berdurasi 46 minit 51 saat, Siti Mastura pada majlis ceramah politik di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini, didakwa mengaitkan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa Guan Eng sebagai sepupu Chin Peng.

Siti Mastura juga mendakwa bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew adalah sepupu Kit Siang.

Beliau turut mengaitkan isteri Guan Eng dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Beliau juga mendakwa, Setiausaha Agung DAP dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Naib Pengerusi Kebangsaan DAP serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ahli Parlimen Bruas, Ngeh Koo Ham dan Teresa mempunyai hubungan kekeluargaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Bodohnya komen YB…dah sah2 laaa Mastura tu bukan ada PhD dlm bidang sejarah. Jadi dia tak ada autoriti untuk bercakap tentang sejarah..dia bercakap atas kapasiti ahli politik..ahli PAS…bukan ahli Sejarah!

Comments are closed.