GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang telah meluluskan dua permohonan bagi pembinaan asrama pekerja di kawasan Teluk Kumbar.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye berkata, berdasarkan kelulusan yang telah diperakukan di Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang, anggaran seramai 32,680 pekerja warga asing akan ditempatkan di kawasan Teluk Kumbar.
“Permohonan yang diterima membabitkan mendirikan satu blok bangunan asrama pekerja setinggi 27 tingkat.
“Ia terdiri daripada ruang kedai enam unit di aras 1, kemudahan rekreasi di aras satu dan dua manakala baki 26 tingkat adalah asrama pekerja melibatkan 512 unit.
“Pembinaan itu akan dilakukan di atas lot 1859,1860 & 1865, Tingkat Teluk Kumbar, Mukim 9, Teluk Kumbar oleh Tetuan Chong Company Sdn. Bhd,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Mooi Lye (DAP -Jawi) menjawab soalan Mohamad Shukor Zakaria (Pas -Pulau Betong) mengenai status pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar.
Tambah beliau, permohonan kedua pula membabitkan perlingkungan semula dari zon perumahan am, zon rizab pantai dan zon jalan sedia ada kepada zon perniagaan am serta penambahan ketinggian bangunan lima kepada 30 tingkat.
“Pembinaan itu akan dilakukan di atas lot 1435 dan 1437, Mukim 9, Teluk Kumbar oleh Tetuan Zantalite Enterprise (M) Sdn. Bhd.
“Walau bagaimanapun, sehingga kini Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hanya menerima Permohonan Kebenaran Merancang (PKM) daripada Tetuan Chong pada 27 Jun lalu dan permohonan tersebut masih dalam proses pertimbangan.
“Selain itu, lokasi dikemukan Tetuan Chong bagi projek bangunan asrama pekerja masih selaras dengan keputusan perakuan Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang pada 25 Jun 2022.
“Sebarang cadangan pemindahan lokasi perlu dirujuk kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk pertimbangan semula,” katanya. – MalaysiaGazette