MELAKA – Langkah Putrajaya mengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China, India mulai 1 Disember ini bakal merancakkan lagi penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), Januari depan.
Exco Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga menjadi satu ‘hadiah’ sempena hubungan diplomatik Malaysia-China sejak 50 tahun lalu.
“Pengecualian visa ini memberi ransangan besar sempena TMM2024 dan saya yakin Kerajan Persekutuan akan cari kaedah terbaik permudahkan kemasukan pelancong China.
“(Justeru itu) dalam masa sama kita akan buat jemputan kepada mereka yang mana kita akan aturkan lawatan ke China untuk promosi lebih hebat di negara berkenaan,” katanya.
Abdul Razak (BN-Telok Mas) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Lim Ban Hong (BN-Klebang) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini.
Mengulas lanjut Abdul Razak berkata, jemputan khas kepada pelancong-pelancong China sempena TMM2024 akan diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Ini memandangkan China adalah pelancong teramai berkunjung ke Malaysia,” tambahnya.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan pengecualian visa pelancong China dan India untuk memasuki Malaysia itu akan dinikmati selama 30 hari mulai 1 Disember ini.
Langkah itu adalah sempena meraikan sambutan 50 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, tahun depan. – MalaysiaGazette