Muhammad Ammirull Asraf Abdul Wahab menunjukkan lokasi tapak perolehan pasir sungai miliknya.

KUANTAN – “Sediakan payung sebelum hujan,” kata seorang pemuda yang mengusahakan perniagaan pasir sungai di Jalan Sungai Lembing, di sini hari ini.

Menurut Muhammad Ammirull Asraf Abdul Wahab, 29, dia enggan pisang berbuah dua kali selepas kerugian lebih RM300,000 dalam kejadian banjir besar di sini dua tahun lepas.

“Ketika kejadian pada tahun 2021, air naik terlalu laju sehingga tak sempat nak selamatkan semua mesin-mesin dan jentera. Termasuklah pasir yang kita dah proses,” katanya.

Justeru, katanya selepas Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengumumkan Monsun Timur Laut (MTL) bermula pertengahan bulan ni, dia dan lima pekerjanya mengambil langkah berjaga-jaga.

Muhammad Ammirull Asraf Abdul Wahab

“Sebab kita dah tahu, kalau hujan lebat berterusan dalam tiga hari pun, sini dah naik air. Masa banjir tahun 2021 tu, air sungai naik sehingga 10 kaki dari aras tanah, habis tenggelam semua,” katanya ketika ditemui, di sini.

Muhammad Ammirull yang hampir 10 tahun bekerja dalam bidang perolehan pasir sungai memberitahu, lokasi aktiviti tersebut terletak dalam aliran Sungai Lembing yang turut menjadi penanda amaran berlaku banjir di kawasan sekitar.

Buat masa ini, dia hanya menyediakan tempahan pasir jika terdapat permintaan, berbanding kebiasaan pengeluaran mencecah 2,000 tan sehari.

“Sekarang kalau nak cerita, kita hanya sedia kurang 1,000 tan sehari sahaja sebab tak mahu kerugian lagi. Berdebar saja kalau hujan,” tambah Muhammad Ammirull Asraf.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati paras Sungai Lembing berada pada paras selamat, meskipun hujan berterusan pada waktu malam.

Bagaimanapun, menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras enam sungai di Pahang, tiga sungai sudah melepasi paras amaran dan tahap waspada setakat jam 8 pagi ini.

Tiga sungai yang melepasi paras amaran ialah Sungai Tanum di Jambatan Chegar Perah, Lipis yang merekodkan bacaan 97.32 meter (m), Sungai Kechau di Kampung Dusun, Lipis (81.98 m) dan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran (27.11 m).

Manakala, tiga sungai yang melepasi bacaan paras waspada ialah Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera; Sungai Jempol di Rancangan Felda Jengka, Maran dan Sungai Belat di Sri Damai, di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast