Datuk Seri Saifuddin Abdullah ketika sidang media membentangkan Laporan Setahun Ahli Parlimen Indera Mahkota (November 2022- November 2023) hari ini

KUANTAN – Semua ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk terus beristiqamah dengan tidak menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ketika parti lain menjadi pembangkang termasuk UMNO sekali pun, tiada partu yang pernah menyatakan sokongan terhadap perdana menteri di pihak lawan.

Lantaran itu, Saifuddin berharap tiada lagi tindakan dari mana-mana Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan terhadap Anwar semata-mata untuk mendapatkan  peruntukan ahli Parlimen daripada kerajaan.

”Kena belajar dari ahli Parlimen lain juga, yang nampak istiqamah dalam perjuangan. Perjuangan parti mesti didahulukan.

”Ada ramai ahli Parlimen pembangkang, seperti Pas, DAP, bahkan UMNO dulu pernah jadi pembangkang namun majoriti ini tidak pernah menjadikan peruntukan sebagai isu sehingga perlu menyokong perdana menteri yang berada di pihak lawan,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika sidang media Laporan Setahun Ahli Parlimen Indera Mahkota (November 2022- November 2023) hari ini.

Bekas Menteri Luar ini berharap insiden sokongan yang dinyatakan oleh Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal pada hari ini merupakan ‘sokongan’ terakhir dari Bersatu.

Menurutnya, ahli Parlimen pembangkang perlu akur dan memahami situasi apabila tidak diberikan sebarang peruntukan untuk kawasan.

Jelasnya, ahli Parlimen pembangkang perlu ‘ikat perut’ kerana tiada peruntukan tetapi tetap turun padang memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

”Kalau ikut perit, saya lagi perit, kalau nak kira saya lagi dulu saya penah jadi menteri dapat macam-macam peruntukan, sekarang tiada peruntukan.

Pagi tadi, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang)  mengumumkan sokongan kepada Anwar ketika mengajukan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, beliau pernah menyatakan akan menyokong kepimpinan Anwar sekiranya peruntukan disalurkan ke kawasannya.

Ketika itu beliau memohon peruntukan sebanyak RM30 juta membabitkan kerja penyelenggaraan Tabika Kemas berjumlah RM1.05 juta, pembangunan ekonomi komuniti (RM90,000) dan kemudahan ameniti sosial (RM3 juta).

Tindakan Syed Abu Hussin itu menjadikan lima Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu menyatakan sokongannya kepada Perdana Menteri.

Sebelum ini, empat Ahli Parlimen Bersatu sudah menyatakan sokongan kepada Anwar iaitu Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik. – MalaysiaGazette