Armizan Mohd Ali.

PUTRAJAYA – Kerajaan telah melaksanakan program audit subsidi minyak masak berikutan unjuran peningkatan penggunaan empat kali ganda bahan makanan itu berjumlah RM1.9 bilion pada penghujung tahun depan.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, laporan tersebut akan siap Januari depan dalam usaha menangani masalah ketirisan subsidi minyak masak.

“Bermula Oktober lepas di peringkat KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) kita telah laksanakan program audit secara menyeluruh untuk melihat pelaksanaan subsidi (minyak masak) ini seluruh peringkat dan seluruh negeri dan seluruh daerah.

“Terdapat dapatan tertentu dan saya tidak nafikan wujudnya ketirisan subsidi minyak masak ini. Dengan adanya audit ini kita dapat membuat keperluan berapakah keperluan sebenar dan bagaimana kaedah untuk memperkemaskan subsidi perlu namun perlu ada mekanisma untuk mengurangkan ketirisan dan penyelewengan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Kos Sara Hidup (SCOL 2023) di ioi City Mall, Putrajaya, hari ini.

Unjuran itu, kata Armizan, hanya pada paras RM500 juta bagi tahun ini namun ia dijangka naik disebabkan peningkatan harga minyak dunia.

“Pada asal RM500 juta yang hanya cukup untuk dua bulan Januari dan Februari tapi kita unjurkan penghujung tahun ini kita perlukan RM1.9 bilion hanya untuk subsidi minyak masak.

“Itu sebabnya kita perlu lihat semula dan terdapat gesaan Ahli Parlimen untuk kita melihat perkara ini dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani secara konsisten nyatakan tentang perkara itu,” katanya.

Armizan berkata, hasil dapatan daripada audit berkenaan akan diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang baharu.

“Mungkin masa itu ada menteri baharu yang akan umumkan tentang kes yang kita perolehi dan ada juga kes yang kita ambil tindakan serta merta dengan tunjukkan surat tunjuk sebab dan juga kemungkinan kita akan kurangkan kuota tertentu.

“Dapatan keseluruhan itu akan siap penghujung Januari di peringkat KPDN,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast