SUNGAI PETANI – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun bertindak mengacukan pisau kepada pemandu e-panggilan dalam cubaan samun di Taman Keladi, dekat sini, kira-kira pukul 6 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Zaidy Che Hassan berkata, pemandu warga emas berusia 65 tahun itu, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan sebaliknya bertindak menggigit tangan suspek dan merampas pisau tersebut, sebelum remaja terbabit turun dari keretanya dan melarikan diri.
“Mangsa dikatakan menerima pesanan penumpang menerusi aplikasi Grab pada pukul 5.43 petang semalam, di Taman Keladi untuk dihantar ke Bandar Sri Astana…dalam perjalanan suspek mahu meminjam wang RM50 daripada mangsa, atas alasan untuk membayar sewa rumah.
“Mangsa kemudiannya memberitahu untuk menurunkan suspek jika tiada wang, namun suspek enggan dan meminta mangsa membawanya ke Bandar Sri Astana untuk mengambil wang bagi membayar perkhidmatan Grab,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, apabila tiba di Bandar Sri Astana, mangsa telah menerima bayaran RM18 dan diminta oleh suspek untuk membawanya kembali ke Taman Keladi.
“Suspek melengah-lengahkan mangsa dengan mengarahkannya memasuki beberapa lorong kecil menyebabkan pemandu e-panggilan itu terpaksa menurunkan suspek, serta meminta bayaran tambahan RM9.
“Suspek memberikan wang RM20…semasa mangsa mahu memulangkan baki, suspek mengacukan pisau ke dada mangsa dan cuba merampas wang dari poket mangsa..namun warga emas itu bertindak menggigit tangan suspek dan merampas pisau itu,” katanya.
Zaidy berkata, siasatan mendapati, remaja terbabit yang merupakan anak sulung dari empat beradik itu bertindak sedemikian, kerana berasa marah terhadap pemandu tersebut kerana didakwa dia dimaki, selain mahu mengambil semula wang bayaran tambang.
“Suspek bukan berasal dari keluarga yang berpecah dan tindakannya itu telah dirakam menerusi kamera papan pemuka yang dipasang di dalam kereta tersebut…suspek ditahan pada pukul 8 malam tadi, kira-kira dua jam selepas laporan polis diterima.