KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Perikatan Nasional (PN) perlu berhenti daripada ‘igauan’ bakal mengambil alih kerajaan.
Katanya, itu igauan berkenaan dilihat bertentangan dengan apa yang sedang berlaku apabila beberapa Ahli Parlimen meninggalkan pembangkang dan menyokong kerajaan.
Beliau berseloroh memulakan jawapannya untuk soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin berkaitan kenyataan Presiden PKR itu semasa kongres baru-baru ini bahawa peruntukan pembangunan bagi negeri ditadbir pembangkang masih diteruskan walaupun tidak diberikan terus kepada ahli Parlimen.
“Saya faham Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) marah betul disebabkan Bukit Gantang (Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal umum sokong PM. Nak marah macam mana, tiap bulan kata nak ambil alih kerajaan tapi tiap bulan ada ahli yang keluar jadi maknanya pertama berhenti igauan untuk rampas, untuk mahu tebuk atap, hentikan dulu,” katanya dalam Dewan Rakyat ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Dalam masa yang sama Anwar menafikan menetapkan syarat kepada Ahli Parlimen pembangkang yang mahu menerima peruntukan supaya menyokong pentadbirannya terlebih dahulu.
Sebaliknya beliau menegaskan sentiasa membuka ruang perbincangan dalam isu berkenaan.
“Saya tidak kata syarat mesti sokong Perdana Menteri, jilat Perdana Menteri seperti kamu jilat perangai walaun sehingga sanggup berdebat perkara ini. Pembangkang kata pembangkang adalah yang bertanggungjawab adakah bertanggungjawab kalau pergi ke mana-mana kata kami ini bukan Melayu dan bukan Islam? Doa melaknatkan orang kemudian nak suruh runding dengan baik dan berakhlak dan beradab
“Kita tidak halang rundingan kembalikan peruntukan kepada semua wakil rakyat ada juga beberapa peraturan tidak automatik,” jelas beliau.
Sebelum itu, Anwar dilihat berang kepada Takiyuddin yang menggunakan ayat Al-Quran semasa membangkitkan isu peruntukan tersebut.
“Hadis itu hanya terpakai kepada orang lain tidak terpakai dengan kamu? Baca ayat Al-Quran salah guna kalau betul saya nak tanya kenapa dulu tidak beri (peruntukan) kepada pembangkang masa itu?
“Soalnya tidak terlepas ayat itu untuk kamu, kamu kata mesti kepada semua wakil rakyat kenapa tiga tahun kamu tidak beri kepada pembangkang? Kamu baca al-Quran mana masa itu? Jangan guna ayat Al-Quran, ditunggang untuk kepalsuan. Kalau konsisten saya hormat,” katanya. – MalaysiaGazette