Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal
Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian  Bukit Gantang menyelar tindakan ahli Parlimennnya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, pagi tadi.

Ketuanya, Ahmad Man berkata, tindakan itu satu pengkhianatan kepada mandat rakyat, Parti Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), serta sistem demokrasi negara.

“Bersatu Bahagian Bukit Gantang menentang keras tindakan Syed Abu Husin yang memberi ‘sokongan tanpa had’ (blanket support) kepada kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

“Sebagai ahli Parlimen pembangkang, Syed Abu Husin sepatutnya memainkan peranan sebagai ejen semak dan imbang dalam sistem demokrasi negara dengan jujur dan telus,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad turut menyifatkan kenyataan Syed Abu Hussin yang menyokong perdana menteri demi kepentingan rakyat sangat meloyakan.

Ia kerana, sokongan ahli Parlimen kepada kerajaan harus berdasarkan kepentingan rakyat atas sesuatu isu, bukannya menyokong kedudukan perdana menteri dari blok kerajaan.

“Sistem demokrasi negara akan musnah jika semua ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan penuh kepada perdana menteri hanya untuk mendapat kelebihan peruntukan.

“Dalam Plihan Raya Umum di enam negeri selepas pembentukan Kerajaan Madani, sokongan rakyat masih memihak kepada PN walaupun mengetahui kami bukan sebahagian kerajaan Persekutuan,” kataya lagi.

Justeru itu, Bersatu bahagian itu mendesak agar Syed Abu Hussin meletakan jawatan dan bertanding semula atas tiket Pakatan Harapan (PH).

“Jika Syed Husin begitu percaya sokongan beliau ke atas Kerajaan Madani mendapat restu pengundi Parlimen Bukit Gantang, maka beliau seharusnya meletak jawatan dan bertanding semula atas tiket Pakatan Harapan atau Barisan Nasional.

“Jika pengundi menilai tindakan beliau sebagai satu usaha menjaga kepentingan rakyat, pastinya beliau akan menang lebih besar,” katanya lagi.

Syed Abu Hussin hari ini secara terbuka di Dewan Rakyat mengisytihar menyokong Anwar dan Kerajaan Madani.

Beliau menjadi wakil rakyat pembangkang kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – MalaysiaGazette