PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan, di sini, memutuskan untuk menangguhkan keputusan rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang disabitkan dengan kes rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak pada hari ini kepada 31 Januari depan
Keputusan itu sepatutnya diumumkan panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M Komathy Suppiah pada hari ini.
Perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz selepas prosiding sebutan rayuan berkenaan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Huda Humaira Idris.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi mendapati Mohd Isa bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.
Kesalahan itu dilakukan antara Julai 2014 hingga Disember 2015, ketika beliau memegang jawatan Pengerusi Felda.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 54 tahun serta denda RM15.45 juta.
Mahkamah juga menetapkan penjara 18 tahun lagi sekiranya Mohd Isa gagal membayar denda tersebut.
Namun Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara itu berjalan serentak.
Ketika membuat rayuan, peguam bela Mohd Isa mendakwa anak guamnya perlu dilepas dan dibebaskan kerana tidak ada sebarang bukti beliau menerima wang rasuah itu.
Bagaimanapun, Afzainizam menolak perkara itu dengan berkata, Mohd Isa telah menerima wang itu melalui bekas pembantunya, Muhammad Zahid Arip Zahid secara tidak langsung.
Katanya, bayaran itu dilakukan supaya Mohd Isa tidak menggunakan pengaruhnya untuk membatal atau menangguhkan pembayaran bagi pengambilalihan hotel tersebut. -MalaysiaGazette