KLUANG – Dua lelaki ditahan ketika memecah masuk sebuah rumah Taman Sri Layang, di sini, yang digunakan sebagai rumah sarang burung layang-layang pada awal pagi Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, Balai Polis Layang-Layang yang menerima laporan mengenai kajadian jam 2 pagi itu melakukan serbuan ke atas premis tersebut.
“Hasil daripada serbuan itu, dua lelaki berusia 36 dan 41 tahun berjaya ditahan ketika melakukan pecah masuk dalam rumah burung layang-layang.
“Barang-barang yang berjaya dirampas adalah anggaran 450 gram sarang burung layang-layang, peralatan pecah rumah dan kelengkapan untuk mengambil sarang burung layang-layang,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Jelas Bahrin lagi, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Kami anggaran kerugian sekitar RM2,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Kedua-dua suspek dikenakan tahanan reman selama enam hari sehingga 30 November ini bagi membantu siasatan,” katanya.-MalaysiaGazette