Gambar hiasan.

SERDANG – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) optimis penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankannya mampu mengurangkan kebergantungan import bawang dalam tempoh lima tahun.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, pihaknya menjalankan penyelidikan berkaitan bawang secara intensif sejak 2020 bagi memperkenalkan dan meningkatkan produktiviti pengeluaran bawang merah dalam agroklimat negara melalui tindakan inovasi dan R&D.

Menurut beliau, krisis bekalan bawang import berikutan banjir besar di India pada 2020 mengakibatkan harga bahan makanan itu meningkat sehingga tiga kali ganda daripada RM3 sekilogram kepada RM16 sekilogram.

“Sehubungan dengan peningkatan drastik ini, kita mengambil keputusan untuk menggiatkan lagi aktiviti penyelidikan bagi membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada import bawang.

“Strategi kajian yang dijalankan melibatkan pembangunan teknologi pengeluaran bawang merah ke arah peningkatan produktiviti, adaptasi tanaman di tanah rendah, pengurangan masalah perosak, penyakit dan kerosakan lepas tuai serta pengukuhan pemasaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zabawi berkata, tiga varieti bawang merah iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 dilancar bersempena Show Tech Mardi 2023 pada Ogos lalu.

Ketiga-tiga varieti bawang itu sesuai ditanam di tanah rendah dengan tanah yang berbeza iaitu mineral, BRIS dan gambut, ujarnya.

Menurut Zabawi, kualiti bawang merah yang diperolehi adalah sama seperti bawang import di pasaran iaitu bersaiz antara 25 hingga 35 sentimeter, berwarna merah terang dan menarik, segar dan tahan kepada serangan serangga dan penyakit, serta mampu mengeluarkan hasil sekitar 4 hingga 6 tan sehektar.

Pengkomersialan pengeluaran bawang merah Mardi akan bermula pada awal tahun hadapan dengan tumpuan kepada pengeluaran benih dan peluasan kawasan di plot-plot usahawan tani, katanya.

“Mardi kini dalam fasa permulaan dengan menghasilkan benih-benih bawang dari bebawang yang ditanam di sebidang tanah berkeluasan satu hektar di ibu pejabat Mardi untuk kita edarkan kepada petani-petani yang kita kenal pasti untuk mereka mulakan penanaman bawang.

“Pada tahun hadapan, MARDI dengan bantuan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga bercadang untuk kembangkan plot-plot tanaman bawang sehingga 20 hektar kepada usahawan tani yang berminat di seluruh Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette