ISKANDAR PUTERI – Sebuah pusat pengumpulan durian akan dibangunkan di Tangkak, Johor dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi bagi mengatasi masalah lambakan buah itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, berdasarkan tinjauan Jabatan Pertanian negeri, lambakan dijangka berlaku berikutan penanaman durian berskala besar sejak beberapa tahun lepas.
Menurut beliau, berikutan itu, harga durian termasuk Musang King dijangka jatuh.
“Apabila penanaman berskala besar ini mula mengeluarkan hasil kerajaan negeri dapat menyimpannya di pusat pengumpulan tersebut,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, hari ini.
Beliau berkata menerusi pusat pengumpulan itu, hasil durian yang melalui proses sejuk beku dapat dipasarkan di luar musim.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap itu berkata, usaha berkenaan dilakukan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“Jika tidak diambil tindakan awal, saya bimbang harga durian akan jatuh melainkan durian dapat dipasarkan terus ke luar negara seperti China.
“Bagaimanapun, ketika pandemik Covid-19 sebelum ini durian tidak dapat dieksport ke China. Jadi, kita tidak mahu lambakan durian berlaku dan cadangan pusat pengumpulan ini cukup penting agar isi durian dapat disejukbekukan dipasarkan sepanjang tahun,” katanya.
Kerajaan negeri Johor menyasarkan peningkatan pengeluaran durian sebanyak 141,862 tan metrik pada 2027 dengan Tangkak merupakan daerah pengeluar tertinggi. – MalaysiaGazette