BAITULMAQDIS – Hartawan teknologi, Elon Musk menolak jemputan pemimpin kanan Hamas untuk melawat Gaza selepas beliau dilaporkan pergi ke Israel.
Musk menolak jemputan tersebut dalam satu hantaran di platform X bagi membalas ciapan seorang pengguna.
“Nampanya sekarang agak bahaya untuk pergi ke sana, namun saya percaya Gaza yang aman adalah lebih baik untuk kedua-dua pihak,” katanya.
Musk menjawab pengguna X bernama Walter Bloomberg yang mengingatkan pemilik syarikat kereta Telsa itu mengenai jemputan Hamas untuk beliau melihat sendiri kemusnahan besar-besaran di Gaza selepas diserang Israel.
Pemimpin kanan Hamas, Osama Hamdan membuat jemputan itu semalam selepas Musk dilaporkan bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Israel.
“Kami menjemput beliau melawat Gaza untuk melihat sejauh mana pembunuhan beramai-ramai dan kemusnahan yang dilakukan terhadap penduduk Gaza, dengan mematuhi standard objektiviti dan kredibiliti,” kata Osama dalam sidang media di Beirut.
Komen Hamdan muncul sehari selepas gencatan senjata sementara antara Israel dan Hamas dilanjutkan selama 48 jam tambahan.
Ketika berada di Israel Musk dibawa melawat lokasi serangan Hamas di selatan negara itu dan berbincang mengenai kecerdasan buatan (AI) bersama ketua pertahanan.
Musk dan Netanyahu mengadakan temu bual singkat di patform X sebelum lawatan ke Kfar Aza, salah sebuah kibbutzim atau ladang komuniti di selatan Israel yang diserang pejuang Palestin pada 7 Oktober lalu.
Musk dan Netanyahu juga mengadakan mesyuarat lanjut mengenai aspek keselamatan AI, menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri Israel. – Agensi