GEORGE TOWN – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian runtuhan bangunan logistik yang masih dalam pembinaan di Batu Maung di sini, semalam.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam satu kenyataan berkata, siasatan itu juga dibuat bagi menentukan sama ada terdapat pelanggaran kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“JKKP Pulau Pinang telah mengeluarkan arahan serta merta untuk menghentikan semua aktiviti kerja di kawasan tersebut bagi tujuan siasatan.
“Berdasarkan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 adalah menjadi kewajipan setiap majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya mahupun orang awam di tempat kerja di bawah kawalannya.
“Selain itu, majikan juga mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja bagi mengurangkan risiko ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya hari ini,
Tambah kenyataan itu, garis panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di Industri Pembinaan (Pengurusan) 2017 ataupun OSHCIM yang menghendaki setiap pihak berkepentingan dalam industri pembinaan termasuk klien, pereka bentuk dan kontraktor, memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing di tempat kerja seawal daripada peringkat reka bentuk projek pembinaan.
“Kemalangan yang meragut nyawa pekerja ini amat dikesali, kita menerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) serta JKKP akan terus komited, berusaha meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini, termasuk dalam sektor pembinaan,” katanya.
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di lokasi runtuhan bangunan logistik di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, yang mengorbankan tiga warga Bangladesh ditutup.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, ia susulan siasatan mendapati empat buruh binaan warga Bangladesh yang dikhuatiri tertimbus itu sebenarnya sudah melarikan diri dari lokasi sebaik runtuhan berlaku semalam. – MalaysiaGazette