BATU MAUNG – Kerja-kerja di tapak pembinaan bangunan logistik di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, dihentikan serta merta susulan insiden sembilan buruh binaan terperangkap dalam runtuhan tersebut semalam.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Ir A. Rajendran berkata, pihaknya sudah mengeluarkan notis berhenti operasi serta merta.

“Kita sudah keluarkan notis berhenti kerja pembinaan serta merta kepada pemaju dan pihak jurutera, awal pagi ini meskipun siasatan awal mendapati kerja pembinaan bangunan itu berlangsung mengikut jadual.

“Selain itu, kedudukan tapak pembinaan yang jauh daripada kawasan perumahan menyebabkan kita memberi kebenaran kepada mereka bagi melakukan kerja pembinaan pada waktu malam,” katanya di lokasi kejadian hari ini.

Terdahulu, Operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat lagi mangsa yang dikhuatiri tertimbus dalam insiden runtuhan bangunan logistik itu diteruskan hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat negeri, Khairy Sulaiman berkata, ini kerana pihaknya mempunyai petunjuk baharu bahawa mangsa-mangsa yang masih tertimbus berada pada jarak berdekatan antara satu sama lain.

“Maklumat yang kami terima daripada pihak kontraktor dan pemaju, mangsa-mangsa berada disatu lokasi yang berdekatan hanya beberapa meter antara satu sama lain kerana mereka sedang menjalankan kerja-kerja meletakkan rasuk (beam),” katanya.

Setakat ini, seramai tiga pekerja buruh binaan dilaporkan maut, dua cedera manakala empat lagi masih tertimbus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast