Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pemikiran dan falsafah yang dianjurkan dalam fahaman Confucius boleh dimanfaatkan untuk memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekuatan Confucius boleh diguna pakai umat Islam untuk mewujudkan politik identiti yang tidak terarah kepada satu-satu kaum sahaja.

“Ini cara kita taarafu cuba memahami dan memberi penilaian lebih positif terhadap kekuatan. Ini sahaja cara kita memperkukuh perpaduan dan semangat baharu.

“Berbeza perkembangan yang ada sekarang ini disebut politik identiti yang melihat kepada satu kaum, satu agama, kemudian turut menyerang dan menimbulkan ketegangan dan permusuhan.

“Ini bukan baharu dan 28 tahun lalu kita sudah anjurkan dan kemudian ada seminar beberapa tahun dahulu di Pulau Pinang dan kali ini kita sambung, saya fikir ini sesuai untuk negara kita dan rantau kita malah dunia,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri merasmikan Dialog Kepimpinan Islam-Confucianism 2023 di Hotel Renaissance, di sini.

Hadir sama, pemegang Kerusi al-Ghazali di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Peradaban Islam (ISTAC) Universiti Islam Antrabangsa Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar.

Tambah Anwar, dialog seumpama itu yang pernah dianjurkan melibatkan tokoh Islam dan sarjana Confucius terkemuka 28 tahun lalu melihat betapa perlunya orang Cina memahami Islam.

“Dialog itu merasakan betapa pentingnya orang Islam juga melihat kekuatan daripada falsafah dan pemikiran Confucius.

“Banyak sekali titik persamaan dan di antara sarjana terkemuka dunia mengenai Confucius pada masa itu, malah saya sempat berbicara dengan Prof Dr Wen Haiming.

“Dia juga mengaku agak terkejut bila dia datang ke seminar itu sebagai pihak berkuasa Confucius dan mula belajar Islam melihat begitu banyak kekuatan

“Beliau juga menyeru supaya orang Islam juga melihat beberapa kekuatan Confucius dan orang Cina juga belajar tentang ciri-ciri Islam,” katanya.

Ditanya tentang dialog ketamadunan, Perdana Menteri berkata, apabila berbicara soal Islam, umat Islam tidak bincang daripada segi ibadah dan ritual, sebaliknya ia dibincangkan seperti Confucius.

“Dialog ketamadunan itu ada, sebab Confucius itu 1,000 tahun sebelum Nabi Muhammad SAW, masa itu dia anjurkan tentang nas manusia, diri, keluarga, manusia, masyarakat dunia, maknanya dia menganjurkan dialog dan kefahaman.

“Rasulullah SAW pula menganjurkan kemanusiaan rahmah bagi sekalian alam. Jadi ini dikatakan suatu pendekatan yang saya rasakan sesuai, sangat mendesak bagi negara seperti Malaysia, Asia malah dunia,” katanya. – MalaysiaGazette