GAZA – Aktivis Palestin yang merupakan pelajar Universiti Birzeit Ruba Assi yakin pengorbanan 15,000 syuhada yang maut dalam serangan Israel di Gaza tidak akan sia-sia.
Beliau antara lebih 100 rakyat Palestin yang dibebaskan oleh Israel sebagai pertukaran dengan tebusan Hamas berkata, pengorbanan para syuhada tidak akan berhenti hanya kerana gencatan senjata atau bantuan luar.
“Apabila rintangan menuntut sesuatu, ia merangkumi segala-galanya. Mereka (para syuhada) memikirkan semua rakyat Palestin.
“Mereka tidak hanya memikirkan tentang Semenanjung Gaza dan bagaimana untuk memperbaiki keadaan hidup di sana. Mereka berfikir bagaimana untuk membebaskan Palestin dari sungai ke laut,” katanya kepada wartawan sebaik dilepaskan.
Ruba Assi telah diculik dan ditahan beberapa kali oleh tentera Israel berikutan penentangan berterusan terhadap regim Zionis dan kali terakhir beliau telah dihukum penjara 21 bulan dan sebaik dibebaskan beliau sekali lagi ditahan apabila Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober.
Katanya, penindasan berterusan Israel telah memperbaharui kepercayaan penduduk Palestin untuk terus menentang rejim Zionis di semua kawasan yang dijajah.
“Hukuman penjara amat sukar. Pencapaian para tawanan yang dibaptiskan dengan darah selepas perjuangan yang panjang.
“Dari detik-detik pertama perang, kami tidak mempunyai makanan untuk jangka masa yang lama. Kami akan tidur di atas tanah tanpa tilam.
“Kami telah menjalani penggeledahan dan ditelanjang, dipukul oleh penjaga penjara terhadap semua banduan wanita, dan kekurangan makanan dan air. Kami tidur dalam keadaan lapar. Kami tidak merunggut untuk keadaan penjara yang lebih baik. Kami berusaha untuk kebebasan,” katanya penuh semangat.
Pelajar universiti itu yakin ada harapan untuk kemenangan yang berkekalan dan bukan hanya kebebasan untuk tahanan tetapi untuk semua rakyat dan tanah Palestin. – Agensi