PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan elaun tambahan sebanyak RM500 kepada 1,322 Pengurus dan Penolong Pengurus Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di seluruh negara, berkuat kuasa Januari tahun depan.
Pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu merupakan dorongan kepada golongan berkenaan yang menunjukkan prestasi terbaik dan memberi manfaat kepada masyarakat sekitar.
“Saya bagi tugas tambahan kepada PEDi, kalau setuju kita tingkatkan RM2,000 kepada RM2,500 bagi pengurus dan RM1,500 kepada RM2,000,” katanya menerusi ucapan perasmian Persidangan PEDi Madani 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, pengurus dan penolong pengurus PEDi mempunyai peranan besar untuk mengangkat martabat negara di dalam pendigitalan ekonomi.
“Saya terharu melihat penglibatan orang muda di dalam PEDi yang begitu bersemangat dan memberi lebih dokongan,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Anwar berkata, transformasi digital menjadi tunggak di dalam strategi ekonomi Madani.
“Melihat kepada prestasi anak-anak pengurus yang berjaya dan berdedikasi, saya harap agar setiap PEDi menyediakan laporan supaya ia dapat menjurus kepada kelompok yang lebih luas terutamanya memberi latihan dan memperkenalkan pelbagai aplikasi serta kecanggihan bidang ini,” katanya.
Terdahulu Anwar dalam ucapannya berkata, kebimbangan utama dalam usaha meningkatkan transformasi digital ialah kesenjangan melebar antara golongan berada dan miskin, mereka yang kurang berpeluang semakin tersisih, terpinggir dan jauh ketinggalan serta tidak mampu bersaing bersama.
“Transformasi digital memberi asakan baharu sebagai tunjang pembangunan tidak boleh mengenepikan kepentingan digital,” ujarnya.
Katanya, syarikat telekomunikasi perlu memberi tumpuan lebih dalam agenda membantu rakyat selain daripada PEDi.
“Syarikat telekomunikasi juga digesa membantu menyelaras kepakaran yang diperlukan. Ini sasaran kita,” katanya.
Tambah beliau, syarikat telekomunikasi juga digesa untuk melihat bidang baharu yang boleh diterokai dan dipertingkatkan.
“Saya tahu PEDi ini ramai yang terlibat, kita boleh kenal pasti latihan yang boleh diberikan untuk meneroka pekerjaan dan teknologi baharu,” katanya. – MalaysiaGazette