Missnah Maulud menunjukkan permohonan tapak bazar ramadan yang di tolak DBKL kerana mempunyai saman yang tertunggak di hadapan Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 28 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Beberapa peniaga kecewa selepas permohonan  petak Bazar Ramadan Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) 2024 yang dibuat secara atas talian telah ditolak tanpa menyatakan bersebab.

Namun, mereka mengesyaki permohonan itu ditolak disebabkan mempunyai saman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang belum dilunaskan.

Mauzi Md Nor

Mauzi Md Nor, 49, yang telah berniaga lebih 20 tahun berkata, dia kecewa dengan keputusan DBKL itu, seolah-olah menghukum peniaga kecil sepertinya.

“Permohonan kami ditolak bulat-bulat tanpa penjelasan, masa kita mohon dia tidak maklum dalam permohonan perlu bayar atau selesaikan mana-mana saman tunggakan DBKL.

“Bila kita sudah hantar, tahu-tahu dapat (notifikasi) ditolak dan gagal dalam proses mengundi petak.

“Kenapa jadi macam itu? Kami seolah-olah dihukum untuk bayar semua hutang atau saman DBKL barulah layak untuk pergi mengundi. Ini satu benda yang tidak adil. DBKL patut tulis dalam syarat pemohon perlu bayar atau selesaikan saman dahulu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mauzi yang menyifatkan hukuman itu sangat berat dikenakan oleh DBKL.

Aida Ramli

Nasib yang sama turut disuarakan peniaga pakaian, Aida Ramli, 47, yang juga gagal dalam permohonannya.

Beliau mengakui mempunyai tunggakan saman parkir yang belum dijelaskan.

Bagaimanapun katanya, syarat tersebut  tidak dinyatakan dalam borang syarat permohonan untuk mendapatkan petak Bazar Ramadan Jalan Tunku Abdul Rahman pada tahun depan.

“Masa saya mohon (melalui aplikasi DBKL) terus keluar diterima tapi bila saya semak minggu lalu, permohonan ditolak.

“Saya pergi ke pejabat DBKL  untuk penjelasan, dia maklum sebab ada tunggakan saman parkir. Bagi saya tunggakan itu macam tidak relevan dengan permohonan petak Bazar Jalan TAR.

“Lagipun semua proses awalnya diterima, jadi kita ingat tiadalah isu yang tersangkut, memang tidak logiklah, saya rasa tidak puas hatilah dan tidak terpikir benda itu boleh jadi penyebab permohonan boleh ditolak,” tambahnya.

Aida berkata, dia sudah  merayu Ketua Pengarah atau Jabatan Perlesenanan DBKL supaya buka semula rayuan permohonan petak bazar.

“Kami boleh pergi ke kaunter untuk bayar saman tunggakan, tapi sekarang ini walaupun sudah bayar masih tidak boleh buat permohonan,” jelasnya.

Missnah Maulud

Sementara itu, peniaga tegar Jalan TAR, Missnah Maulud, 46, berkata, permohonan petak secara atas talian sebenarnya menyukarkan para peniaga.

Malah aplikasi tersebut juga tidak mesra pengguna.

Dia yang mengalami situasi sama turut mempersoalkan permohonannya ditolak tanpa dinyatakan sebab dan berharap  DBKL dapat membuat permohonan secara manual untuk undian petak seperti sebelum pelaksanaan perintah pergerakan (PKP) semasa negara dilanda Covid-19.

“Saya setiap tahun masuk dekat sini, selalunya kalau dalam permohonan secara manual dulu, kita hantar dekat dewan dan kita nampak permohonan itu diterima atau ditolak.

“Saya juga buat secara online dan selalu pantau dalam aps itu tapi bila permohonan ditolak ini saya kecewa sebab tidak dapat email mengapa ia ditolak.

“Tengok kalau ada saman tertunggak,  tiada.

“Bagi saya, tidak kita aps apa pun biarlah menyenangkan orang. DBKL suruh muat turun dan masukkan nombor kad pengenalan saya tapi tiada keluar apa-apa rekod pun kalau benarlah saya ini ada saman tertunggak hingga menyebabkan permohonan saya ditolak. Jangan menyusahkan orang,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, kaedah secara manual untuk memohon petak bazar adalah lebih telus dan adil untuk semua pemohon kerana tiada isu ketirisan atau salah faham mana-mana pihak.

MalaysiaGazette akan cuba mendapatkan kenyataan dan reaksi daripada pihak DBKL berhubung dakwaan peniaga-peniaga ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast