PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga rakan strategik bagi menggalakkan pendigitalan sektor kesihatan dan pemerkasaan komuniti.
Ia membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS).
Majlis pertukaran MoU itu diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sempena Persidangan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) MADANI 2023.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata, melalui kerjasama itu, SKMM bersama Felda, MMA dan MPS akan membantu komuniti masing-masing untuk menyesuaikan diri dengan landskap digital yang sentiasa berubah, sejajar dengan ketersediaan PEDi sebagai pemangkin ekonomi digital negara.
“SKMM dan Felda akan menjalin kerjasama melalui Kempen Komuniti Pintar yang menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai melalui PEDi di kawasan-kawasan Felda.
“Beberapa siri kempen kesedaran yang berpaksikan empat tonggak utama iaitu literasi digital, keselamatan siber, peluang pendapatan, dan pembinaan kapasiti berdasarkan platform tanpa tunai akan turut melibatkan rakan-rakan strategik SKMM yang lain termasuk Touch ‘n Go, Foodpanda, Boost, Maybank MAE QR, dan lain-lain penyedia perkhidmatan kewangan.
“Sementara itu, pertukaran MoU di antara SKMM dengan MMA dan MPS pula dijangka merancakkan lagi pendigitalan di klinik dan farmasi komuniti swasta melalui Geran Digital Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI dan Kertas Putih Perubatan,” katanya kepada media selepas menyaksikan majlis itu, hari ini.
Hadir sama, Timbalannya, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi Eksekutif SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Mewakili pertukaran dokumen itu ialah Pengarah Komunikasi Strategik Felda Mastura Abdul Manap; Setiausaha Agung Kehormat MMA, Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo dan Presiden MPS, Prof Amrahi Buang.
Fahmi berkata, terdapat 150 PEDi di skim-skim Felda yang akan meningkatkan cara pembayaran tanpa tunai di PEDi terbabit.
“Harapan saya ini akan meningkatkan usaha pendigitalan dan keterlibatan lebih ramai masyarakat dalam ekonomi digital,” katanya. – MalaysiaGazette