Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching bergambar bersama penerima Anugerah Pengurus PEDi terbaik pada Majlis Perasmian Persidangan (PEDi) Madani Pemangkin Ekonomi Digital Negara 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 29 NOVEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa syarikat telekomunikasi membangunkan bakat kepakaran dalam kalangan rakyat supaya dapat meneroka alam pekerjaan berkaitan bidang teknologi baharu.

Menurut Perdana Menteri, hanya menerusi pembangunan bakat martabat Malaysia dapat diangkat daripada sudut transformasi digital yang diperluaskan ke semua peringkat.

“Saya mahu menggesa selain PEDi (Pusat Ekonomi Digital), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Komunikasi dan Digital, saya mahu syarikat telekomunikasi memberi tumpuan lebih supaya agenda pembangunan dan kecanggihan teknologi dapat membantu rakyat.

“Syarikat telekomunikasi harus melihat bidang (peningkatan kemahiran) ini untuk membantu melahirkan bakat kepakaran yang diperlukan, supaya dapat memberi latihan khusus (kepada rakyat) untuk meneroka alam pekerjaan dalam bidang teknologi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan PEDi MADANI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; timbalannya, Teo Nie Ching dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Perdana Menteri berkata, hanya menerusi pembangunan bakat terbabit, negara dapat memaknai erti keadilan dan Madani.

Katanya, sama seperti beberapa syarikat besar yang membuat pelaburan di Malaysia, termasuk Infineon, Geely, Google, dan Elon Musk, mereka memerlukan tenaga kepakaran tambahan yang mampu membawa syarikat masing-masing ke peringkat lebih tinggi.

“Inilah cabaran yang kita hadapi kerana apabila tanya Infineon, tanya Geely, semua menyatakan, mereka memerlukan kepakaran tambahan dalam bidang terbabit sehinggakan Geely hantar 300 orang ke China untuk memberikan latihan kepakaran tambahan.

“Jadi, saya melihat syarikat telekomunikasi juga harus melihat bidang-bidang ini untuk membantu melahirkan bakat kepakaran yang diperlukan dalam teknologi baharu,” ujarnya.

Mengenai PEDi, Perdana Menteri berkata, pusat itu antara strategi penting kepada negara dan ia harus dilaksanakan dengan lebih berhasil.

“Sebab itu sebelum ini saya pernah umumkan supaya kegiatan PEDi diperluaskan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya keluarga PEDi menjadi lebih besar.

“Kita mulakan peruntukan RM25 juta dalam Belanjawan 2024 dan sekiranya untuk memenuhi (keperluan), saya akan ikhtiar untuk tambah peruntukan pastikan PEDi ini diperluaskan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast