KUALA LUMPUR – Peruntukan RM19.7 bilion kepada Kementerian Pertahanan akan dilaksanakan secara berhemah bagi memastikan memastikan tidak berlaku ketirisan dalam pemerolehan aset ketenteraan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak mampu berbelanja berpuluh bilion ringgit namun mempunyai aset yang sangat daif sekiranya dibandingkan dengan keupayaan negara serantau lain.
“Selama ini masalah yang kita hadapi adalah masalah perolehan aset, membangunkan dan perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang tak siap, masalah kapal tak sampai, pesawat-pesawat terbang kurang memuaskan dan pelbagai masalah.
“Oleh itu saya memutuskan bahawa semua pengurus tentera di bidang masing-masing dibenarkan memutuskan sendiri kelengkapan aset yang mereka perlukan tanpa melibatkan campur tangan luar dan mereka bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya ada masalah teknikal ataupun pelaksanaannya,” katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam ucapan Belanjawan 2024 Bacaan Kali Kedua Pembentangan Rang Undang-UNdang Perbekalan (2024) di Dewan Negara, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, hanya Kementerian Kewangan akan terlibat dalam perundingan kos bagi pemerolehan sesuatu aset.
“Terbaiknya kita tidak berunding untuk aset melalui ejen tetapi akan berunding terus dengan kerajaan berkenaan (pembekal aset) yang mana kita akan bermula dengan Turkiye, Korea Selatan dan Itali kalau ada apa-apa yang diputuskan tapi yang memutuskan itu adalah pengurusan pertahanan sendiri.
“Kalau Tentera Laut, dia yang akan putuskan (kelengkapan aset) yang diperlukan, kalau tidak berbilon ringgit itu akan tiris dan ia tak akan dapat dikawal lagi dan ini yang saya perhatikan daripada zaman saya dulu sehingga sekarang,” ujarnya.
Tambah beliau, walaupun perkara tersebut mungkin tidak disenangi sesetengah pihak namun kerajaan tidak mempunyai pilihan dalam soal yang membabitkan keselamatan negara. – MalaysiaGazette