KUALA LUMPUR – Tiga pemimpin DAP hari ini menyaman Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad berikutan kenyataannya yang mendakwa mereka mempunyi hubungan kekeluargaan dengan ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng.
Selain Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan pemimpin veteran parti itu, Tan Sri Lim Kit Siang menyaman Siti Mastura, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok turut mengambil tindakan sama berikutan dakwaan mengaitkan isteri Guan Eng dengan beliau.
MalaysiaGazette difahamkan saman tersebut telah difailkan Tetuan S N Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dengan menuntut ganti rugi libel dan fitnah ke atas Siti Mastura kerana menjejaskan reputasi mereka.
Ketiga plaintif itu mendakwa kenyataan Siti Mastura bukan sahaja tidak benar tetapi dibuat dengan niat jahat untuk memberi bayangan bahawa mereka cuba menjejaskan proses demokrasi dan keselamatan negara selain seolah-olan memberi ancaman kepada Islam.
Selain itu ketiga-tiga mereka telah memohon Mahkamah Tinggi mengeluarkan injunksi menghalang Siti Mastura mengungkap, menulis, menerbit atau mengedar kenyataan sama atau berkaitan.
Siti Mastura disaman berikutan penularan video berdurasi 46 minit 51 saat yang mana beliau mendakwa Kit Siang yang juga bapa Guan Eng, adalah sepupu kepada ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng.
Selain itu, Siti Mastura juga dalam rakaman itu mendakwa bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew adalah sepupu Kit Siang selain mengaitkan isteri Guan Eng dengan Teresa Kok.
Siti Mastura juga mendakwa pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung DAP dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ahli Parlimen Bruas, Ngeh Koo Ham dan Teresa mempunyai hubungan kekeluargaan. – MalaysiaGazette