Rasuk (beam) yang jatuh itu dianggarkan seberat 14 tan.

KUALA LUMPUR – Titijaya Land Berhad (Titijaya) yang merupakan pemaju dan pemilik projek pembinaan kemudahan logistik yang runtuh di Pulau Pinang akan siasatan menyeluruh berhubung kejadian itu akan dijalankan sebaik operasi mencari dan menyelamat selesai.

Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya Land Bhd, Lim Poh Yit berkata, syarikat itu akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat kesilapan atau kecuaian manusia yang didapati menyumbang kepada tragedi ini.

Perkembangan terkini siasatan akan dimaklumkan apabila maklumat baharu diterima.

Katanya, Titijaya bekerjasama rapat dengan kontraktor, pihak berkuasa berkaitan dan kakitangan perubatan untuk memastikan operasi mencari dan menyelamat dapat dilaksanakan dengan pantas dan cekap.

Poh Yit berkata, syarikat itu sedih dengan insiden tragis yang berlaku malam tadi, melibatkan pekerja binaan asing di tapak pembinaan.

“Titijaya sangat memahami impak hebat daripada tragedi ini terhadap keluarga pekerja yang terkesan.

“Keutamaan mereka sekarang adalah untuk memberikan sokongan dan bantuan kepada keluarga yang sedang berdukacita, dan mereka meminta privasi serta penghormatan kepada keluarga yang sedang bersedih dalam masa yang mencabar ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pekerja yang meninggal dunia dan menzahirkan rasa sedih kepada mangsa-mangsa yang cedera,” ujarnya.

Semua kerja di tapak pembinaan telah dihentikan sehingga pemberitahuan lanjut.

Malah, katanya. Titijaya telah mengarahkan kontraktor untuk menghubungi keluarga mangsa, dan melawat pekerja yang telah dimasukkan ke hospital.

“Pada masa sama, saya ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada kakitangan perubatan yang telah bertungkus-lumus bekerja tanpa jemu untuk menyediakan perkhidmatan kecemasan yang diperlukan, menjaga mereka yang cedera dan menghantar mereka ke hospital.

“Kami juga amat berterima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, dan semua yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat atas usaha gigih dan berani mereka menyelamatkan mangsa kejadian ini.

Projek pembinaan kemudahan logistik itu sedang dibina di atas sebidang tanah pembangunan di Barat Daya, Pulau Pinang.

Kontraktor pihak ketiga telah dilantik oleh Titijaya untuk melaksanakan pembinaan kemudahan logistik yang dibina khas ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast