KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperkukuh komitmen untuk mengembangkan landskap peralihan tenaganya merentasi rantau yang lebih luas melalui penyertaan pada Sidang Kemuncak Iklim (COP28) di Dubai mulai 30 November hingga 12 Disember ini.
Kira-kira 40,000 perwakilan dijangka menghadiri COP28 di bawah Konvensyen Rangka Kerja mengenai Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.
TNB adalah antara tonggak utama dalam ruang pameran (pavilion) Malaysia dengan menyumbang kepakaran kepada wacana penting mengenai peralihan tenaga yang bertanggungjawab.
Justeru, TNB berbangga menyertai kontinjen 200 delegasi Malaysia di COP28, di bawah naungan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad.
“Komitmen TNB terhadap COP28 sejajar dengan objektif strategik kami untuk mengukuhkan peranan dalam memacu peralihan tenaga di Malaysia dan rantau yang lebih luas.
“Penyertaan dalam COP28 meningkatkan peranan TNB sebagai pemangkin utama perubahan, menonjolkan potensi pertumbuhan ketara dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan meletakkan kami sebagai peneraju dalam menyokong peralihan tenaga global (ET) dengan mempromosikan kemampanan dan masa depan yang lebih hijau,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Baharin Din.
Menurutnya, TNB menjana tenaga masa depan dengan melabur dalam tenaga boleh baharu (TBB), mendakap teknologi pintar untuk kecekapan dan memperjuangkan penyelesaian baru tenaga mampan.
TNB berhasrat menggunakan peluang di COP28 untuk membentuk perkongsian strategik dalam penyelesaian cekap tenaga, meneroka kerjasama TBB, teknologi hijau serta kewangan dalam memupuk sinergi bagi pertumbuhan TNB dan menyokong peralihan tenaga global, katanya.
Malah beliau berkata, TNB merancang untuk menerajui inisiatif brown to green (tenaga fosil ke tenaga hijau) dan memasuki pasaran baharu, memanfaatkan kedudukannya dalam industri untuk inovasi dan kemampanan.
Dengan Malaysia memberi tumpuan kepada ET dan pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) pada COP28, Baharin berkata, penyertaan TNB dalam persidangan global itu akan menekankan keperluan mendesak peralihan tenaga.
“Krisis tenaga baru-baru ini menekankan pergantungan tenaga negara perlu beralih kepada TBB. TNB menjanjikan pelepasan Sifar Bersih menjelang 2050 dengan menyasarkan pengurangan 35 peratus intensiti pelepasan dan 50 peratus penggunaan arang batu menjelang 2035.
“Kami merancang untuk meningkatkan kecekapan loji termal dan mengembangkan portfolio TBB dengan sasaran 8,300MW menjelang 2025,” ujarnya
Menegaskan kepentingan usaha kolektif dalam membentuk dunia yang lebih mampan dan berkesan dalam memerangi perubahan iklim, Baharin menekankan desakan TNB supaya pengerak ET beralih daripada berjanji kepada melaksanakan tindakan tegas terhadap perubahan iklim.
Beliau turut menekankan bagaimana penglibatan TNB dalam COP28 membuka peluang untuk menterjemahkan fungsi grid dalam menjayakan peralihan tenaga.
Justeru katanya, TNB membuat pelaburan yang besar untuk mengukuhkan grid demi masa depan nyah karbon.
“TNB merancang untuk memperkukuh pelaburan dengan peruntukan RM90 bilion di antara 2025 hingga 2030 dengan tumpuan kepada peralihan tenaga. Ini termasuk RM35 bilion untuk projek-projek berkaitan peralihan,” katanya.
Menurutnya lagi, selain meganjurkan empat acara di pavilion Malaysia, TNB turut menyertai agenda utama iklim dan nyah karbon di COP28 bagi meningkatkan sokongan terhadap matlamat hijau Kerajaan Malaysia.
Sebagai sebuah syarikat terkemuka dalam peralihan tenaga, delegasi TNB akan bertemu dengan para pemimpin perubahan iklim pada sidang tersebut.
“TNB berbangga untuk menyokong agenda perubahan iklim Malaysia, bekerjasama rapat dengan kerajaan dan para penggerak pelbagai ekosistem merentasi rantaian nilai peralihan tenaga pada COP28.
“Dedikasi ini menterjemahkan komitmen TNB untuk menerajui penyelesaian tenaga mampan demi masa depan yang lebih baik dan cerah,” tambahnya. – MalaysiaGazette