Keadaan lengan di kedai makanan segera akibat rakyat Malaysia terutamanya masyarakat islam melakukan kempen memboikot produk yang berkaitan dengan Israel berikutan peperangan yang berlaku di Palestin ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 NOVEMBER 2023.

Oleh: Dr. Nur Saadah Khair

KEKEJAMAN Israel ke atas rakyat Palestin semakin berlarutan dan mengakibatkan angka kematian dan kecederaan naik secara mendadak. Walaupun sempadan bagi menyalurkan bantuan telah dibuka, namun jalan kesudahan bagi kekejaman ini masih belum nampak sinarnya.

Selain saluran bantuan dan doa, salah satu cara yang boleh diambil sebagai tentangan kepada kebiadapan Israel adalah dengan memboikot produk mahupun servis yang disediakan oleh syarikat yang menyokong dan tidak memihak kepada isu Israel-Palestin.

Boikot merupakan sebuah tindakan pemulauan terhadap sesuatu pihak dengan cara enggan mengadakan sebarang urusan, dalam bidang sosial, ekonomi, politik, kebudayaan atau ketenteraan. Ia merupakan satu bentuk hukuman terhadap sesuatu pihak yang telah melanggar atau tidak patuh kepada peraturan sistem antarabangsa.

Amalan boikot ini juga telah diamalkan dalam banyak hubungan politik antarabangsa. Malah, gesaan untuk memboikot ke atas produk keluaran Israel juga telah bermula sejak tahun 1940-an. Ia tidak dinafikan memberi kesan yang besar ke atas Israel apabila sumber ekonominya terjejas.

Namun begitu, pihak Israel bijak menyusun strategi untuk mengatasi gerakan pemboikotan dan mampu bangun semula dengan memperolehi sokongan negara-negara besar seperti Amerika Syarikat. Terdapat banyak syarikat yang menyatakan sokongan terang-terangan kepada pihak Israel dan serangan mereka ke atas rakyat Gaza pada Oktober 2023.

Sadisnya, pihak penyokong rejim zionis dibelenggu sifat prejudis dan sifat kemanusiaan mereka hilang apabila masih terdapat lagi maklumat berat sebelah yang dikongsi oleh media Barat, lalu mengakibatkan serangan bertubi-tubi ke atas rakyat Palestin.

Justeru, tindakan boikot ini perlu diambil segera dengan mengenal pasti rangkaian produk dan semua bentuk perniagaan antarabangsa yang menyalurkan bantuan dan sokongan kepada rejim Zionis dan kerajaan Israel. Senarai syarikat tersebut juga tular di semua peringkat media dan masyarakat perlu bijak membuat pilihan.

Tindakan ini tidak tersasar kepada rakyat beragama Islam sahaja, kerana tanggungjawab memerangi kezaliman dan menuntut keadilan adalah tanggungjawab bersama di atas dasar kemanusiaan. Namun begitu, pemboikotan perlu disertai dengan ilmu dan adab. Memboikot tidak bermaksud boleh mencaci dan menghina dengan kata-kata kesat.

Ia perlu disertai strategi dan perancangan agar usaha yang diambil mampu memberi kesan dalam jangka masa yang panjang. Biarlah usaha memboikot ini dilakukan dengan penuh etika dan memelihara aspek kesopanan dan kesusilaan yang merupakan prinsip
kelima dalam Rukun Negara. Usah pandang remeh kuasa boikot, ia barangkali menjadi senjata paling ampuh bagi menentang kekejaman tentera Israel.

Penulis ialah Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Exco Kajian Islam dan Hadis