JASIN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan enam bulan untuk memastikan 23,000 termasuk pelajar yang dikesan berkenderaan ke sekolah tanpa lesen ketika ini, mematuhi undang-undang.
Ketua Pengarahnya Rospiagos Taha berkata, beliau optimis jumlah mereka berumur antara 16 hingga 35 tahun itu mampu dikurangkan melalui kempen kesedaran keselamatan jalan raya yang akan terus diperhebatkan.
“Saya percaya dengan advokasi yang tersusun rapi, sistematik dan bersasar peratusan itu akan menurun dan 23,000 pengguna kenderaan motor termasuk pelajar sekolah ini akan sedar kesalahan yang mereka lakukan.
“Kita faham ada masalah tertentu punca berlaku masalah ini sebab itu pendekatan kita sekarang ini adalah lebih kepada advokasi untuk mendidik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutup Perkhemahan Kadet JPJ peringkat Zon Selatan 2024 di Pusat Kokurikulum Melaka, Kampung Lanchang, Merlimau di sini malam tadi.
Hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam Dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff.
Ditanya adakah JPJ bercadang meminda undang-undang sedia ada untuk mengenakan tindakan terhadap ibu bapa yang membenarkan anak-anak menggunakan kenderaan tanpa lesen, Rospiagos berkata, JPJ akan memfokuskan advokasi.
“Kita percaya berdasarkan rekod-rekod yang lepas, advokasi ini sangat berkesan terutama di sekolah-sekolah yang telah kita buat projek bersama.
“Bagaimanapun usaha ini bergantung pada kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah dan masyarakat,” katanya.
Tambahnya, antara kempen advokasi dilakukan termasuklah melalui Perkhemahan Kadet JPJ selama empat hari itu yang disertai oleh hampir 300 orang pelajar dan guru dari setiap sekolah di Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutan Kuala Lumpur
Usaha itu sekali gus menjadikan Pasukan Kadet JPJ sebagai ‘duta’ keselamatan jalan raya dan platform terbaik untuk melatih ahli-ahlinya dalam membantu menyampaikan mesej advokasi kepada pelajar lain. – MalaysiaGazette.