KUALA LUMPUR – Pelakon Abby Abadi terpaksa berputih mata selepas ditipu sindiket pelaburan atas talian (scammer) yang membabitkan kerugian sehingga RM18,500 selepas percaya dengan keuntungan besar ditawarkan
Menerusi Instagram miliknya, Abby atau nama lengkapnya Arbaiyah Abdul Manan, 46, mengakui apa yang berlaku adalah atas kesilapan dirinya sendiri.
“Saya kena scam (tipu). Hati-hati semua jangan terkena macam saya.
“Rasa was-was mulanya. Tapi lama-lama jadi teruja sebab kononnya semua yang melabur dapat pulangan berganda dalam masa tiga jam sahaja. Pandai betul main peranan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, pelakon drama bersiri kepolisian, Gerak Khas itu itu menambah, kejadian ditipu sehingga membabitkan kerugian ribuan ringgit adalah berpunca daripada sikap tidak pernah berasa cukup.
“Inilah bahana bila tidak pernah merasa cukup! Tapi manusiakan, walaupun nampak macam mustahil dapat pulangan besar semudah itu.
“Tapi selepas itu kena masukkan lagi RM14,500. Saya tahan seminggu lagi untuk masukkan. Tapi selepas dipujuk, akhirnya saya masukkan juga,” dedahnya.
“Baran dah datang. Memang rasa sangat lebur duit aku dengan geng scammer ni. Baru tengah hari tadi (semalam) ke balai polis buat laporan. Melampau sangat scammer berleluasa sekarang.
“Doakan saya dapat semula duit. Pernat kerja. Kecuaian diri sendiri, harap tak lebur (duit) begitu sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Abby turut memuat naik tangkap layar bersama individu daripada kumpulan pelaburan tersebut yang menjanjikan pulangan sebanyak RM14,500 selepas tiga jam membuat transaksi pertama. – MalaysiaGazette