peneroka Felda
Awang Hashim

KUALA LUMPUR – Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa dirinya diugut oleh Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang).

Awang yang bangun sebaik sesi soalan lisan berakhir menjelaskan beliau menerima ugutan itu dalam satu panggilan telefon oleh Syed Abu Hussin dan keluarganya.

“Dua malam lepas saya ditelefon dan diugut. (Ahli Parlimen) Bukit Gantang telefon saya malam, ini yang saya nak cerita,” katanya di Dewan Rakyat.

“Siapa yang ugut siapa,” tanya Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku, YB kena letakkan dalam bukti hitam putih dan saya akan siasat.

“YB sedang rujuk ‘Saya (nasihat Johari) sedang rujuk kepada (Ahli Parlimen) Bukit Gantang Akta 123 dan minta Speaker buat keputusan, baru boleh (ambil tindakan),” nasihat Johari.

Johari sambil itu berkata beliau tidak tahu menahu mengenai dakwaan Awang dan menyesyorkan memasukkan usul kepada beliau untuk pertimbangan.

“Saya kena buat siasatan, begini (sebut dalam Dewan Rakyat) tidak boleh begitu, saya minta YB buat usul,” katanya.

Akur dengan nasihat itu, Awang berkata beliau akan membuat usul sedemikian kepada Johari.

“Saya nak maklum dahulu berkenaan saya diugut oleh (Ahli Parlimen) Bukit Gantang dan ahli keluarganya masa itu,” jelas Awang lagi.

Semalam, Dewan Rakyat kecoh berikutan beberapa Ahli Parlimen pembangkang mengambil kesempatan mengutuk tindakan Syed Abu Hussin yang mengumumkan sokongan secara terbuka kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perbahasan Rang Undang-Undang Kewangan (No 2) 2023 tergendala selama kira-kira 20 minit selepas Awang mendakwa Syed Abu Hussin Hafiz mengambil keputusan sedemikian kerana ada agenda tersembunyi.

“Kita banyak terbabit dengan ‘black economy’ (ekonomi gelap), ia menyebabkan kita hilang punca pendapatan seperti yang berlaku terhadap Bukit Gantang (Syed Abu Hussin Hafiz).

“Dia ada masalah, nak lobi supaya projeknya yang dibekalkan kepada tentera disambung. Disebabkan itu, dia cari ‘payung’ untuk berlindung. Jadi dia sekarang lompat sana sini, dia pernah jadi (Ahli Parlimen) UMNO, Bebas dan lepas itu melutut kepada Presiden BERSATU (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk jadi calon. Kita (Bersatu) pun percaya pada dia,” katanya semalam. – MalaysiaGazette