TAMPIN – Kira-kira 500 peserta sukan lasak larian berhalangan dijangka menyertai Gemas Warrior Challenge 2023 di Gemas Golf Resort yang akan berlangsung pada 17 Disember, Ahad bulan depan di Gemas Golf Resort, Negeri Sembilan.
Setiausaha Majlis Daerah Tampin (MDT), Zulhilmi Marzuki berkata, kejohanan julung kalinya diadakan anjuran MDT dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) itu bertujuan mempromosi sukan lasak dan menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini khususnya di Gemas.
“Gemas ini lengkap dengan pakej pelancongan. Ia menawarkan penginapan, lokasi bersejarah, tempat riadah, tempat makan, kebudayaan dan warisan, menjadikannya destinasi pelancongan utama di Tampin.
“Kami berharap bahawa program sulung ini dapat menjadi salah satu acara sukan lasak komersial yang dihadiri oleh peserta dari seluruh negara.
“Pada tahun ini, MDT turut mencipta produk sukan lasak untuk Daerah Gemas dalam usaha untuk menigkatkan ekonomi dan pelancongan di kawasan itu,” katanya.
Menurutnya, peserta perlu melalui lima pelbagai halangan selain berlari sejauh 7 kilometer (km) serta melintasi kawasan golf sebelum tiba ke garisan penamat di Gemas Golf Resort.
Kata Zulhilmi, setiap kategori menawarkan hadiah tempat pertama hingga tempat kelima. Pemenang tempat pertama bakal menerima wang tunai RM500, tempat kedua RM400, tempat ketiga RM300, keempat RM300 manakala tempat kelima RM100 beserta hadiah iringan.
“Dengan yuran penyertaan sebanyak RM40, peserta akan menerima baju larian, pingat dan peluang untuk menyertai cabutan bertuah. Peserta hendaklah berumur 15 tahun ke atas dan sihat tubuh badan.
“Saya berharap bahawa Gemas Warriors Challenge, sebagai sukan baru, akan dapat meningkatkan popularity lokasi baru di Gemas,” ujarnya – MalaysiaGazette