Mohamad Hafiz Naharoddin , 28, (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan pertuduhan cubaan membunuh anggota polis berpangkat Koperal pada Oktober lalu.

TELUK INTAN – Seorang kelindan lori dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh anggota polis berpangkat Koperal pada Oktober lalu.

Tertuduh, Mohamad Hafiz Naharoddin , 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Hafiz didakwa melakukan cubaan membunuh dengan memandu kenderaan jenis Perodua Myvi berwarna merah secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan kepada Koperal Nik Mohd Khairul Izwan Wan Nik Jid.

Tindakan itu dilakukan di hadapan Masjid Simpang 4 Labu Kubong, Chenderong Balai, di sini, sekitar jam 5.50 petang pada 23 Oktober lalu.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Cheah Shuh Tuan manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Saravanan.

Terdahulu, Cheah memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dengan alasan kes itu serius.

Bagaimanapun, Saravanan memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan jaminan rendah.

Ujar peguam terbabit, anak guamnya secara tidak sengaja melanggar kereta polis sehingga menyebabkan kemalangan.

Selain itu, peguam tersebut turut memaklumkan anak guamnya cedera di bahu kanan sehingga perlu menerima 64 jahitan selepas dipercayai terkena satu das tembakan dalam kejadian tersebut.

Berikutan itu, Mahkamah Sesyen membenarkan Mohamad Hafiz diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan turut dikenakan terhadap tertuduh iaitu lapor diri sekali sebulan di balai polis berhampiran.

Mahkamah juga menetapkan 29 Disember sebagai tarikh lantikan peguam dan sebutan semula kes.

Pada 24 Oktober lalu MalaysiaGazette Perak melaporkan, tertuduh dan abangnya cuba meloloskan diri termasuk menyeret salah seorang anggota polis yang menghalang kenderaan dinaiki mereka.

Namun cubaan tersebut tidak berhasil apabila berjaya ditahan di dua lokasi berasingan di Labu Kubong, di sini dan Ipoh.

Polis turut melepaskan satu das tembakan ke arah hadapan cermin kereta yang dinaiki suspek bagi mempertahankan diri anggota yang diseret kenderaan suspek berhampiran masjid di Labu Kubong.

Sebelum ini, tertuduh turut didakwa di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di Ipoh atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan di beberapa lokasi sekitar Ipoh menggunakan senjata pisau dan parang, pada Oktober lalu. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua beradik dihadapkan ke mahkamah rompak guna pisau, parang