GEORGE TOWN – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang tidak menolak kemungkinan kesalahan berulang dilakukan di kawasan tapak pembinaan bangunan logistik di Batu Maung menjadi punca tiga buruh binaan warga Bangladesh maut pada Selasa lalu.
Pengarahnya, Hairozie Asri berkata, ia berdasarkan pihaknya telah mengeluarkan 12 notis halangan dan pembaikan ke atas projek bangunan logistik tiga bulan lalu.
Bagaimanapun, jelas beliau, kesemua notis tersebut dibatalkan susulan pihak projek melakukan penambahbaikan.
“Antara notis yang dikeluarkan tempoh hari berkaitan penyeliaan kerja oleh jurutera profesional, kelengkapan pelindung diri (PPE) ke atas pekerja, penyeliaan perancah yang selamat serta pemeriksaan ke atas perancah yang dipasang di tapak pembinaan.
“Jadi kita syak benda sama berulang lagi yang mana boleh menyumbang kepada punca kemalangan.
“Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar dan majikan bakal berdepan tindakan perundangan sekiranya didapati terdapat pelanggaran mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,”katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu tinjauan MalaysiaGazette mendapati pasukan dari Bahagian Kejuruteraan Forensik JKKP Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Selain itu, notis larangan melakukan kerja di tapak pembinaan bangunan logistik tiga tingkat itu turut ditampal.
Menurut Hairozie, notis pemberhentian serta merta ke atas semua kerja di tapak pembinaan bangunan logistik itu telah dikeluarkan dan siasatan menjurus kepada Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Kata beliau, pihaknya juga telah mengarahkan majikan untuk melantik penyiasat bebas bagi mengenal pasti punca kejadian dan menilai kualiti struktur pembinaan di tapak tersebut.
“Kita hanya akan membatalkan notis yang dikeluarkan selepas semua bukti-bukti di tempat kejadian telah diperoleh dan pihak jabatan berpuas hati dengan langkah pembaikan dan kawalan yang akan diambil bagi mengelakkan kemalangan seumpama berulang.
“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan perlu membuat analisa risiko serta kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.
“Ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan,” katanya.
Tambah beliau, JKKP memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor termasuk di sektor pembinaan.
“JKKP sentiasa komited untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di negara ini termasuk di dalam sektor pembinaan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Empat pekerja dikhuatiri tertimbus rupa-rupanya sembunyi di Bayan Lepas
Media semalam melaporkan Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di lokasi runtuhan bangunan logistik di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, yang mengorbankan tiga warga Bangladesh ditutup.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, ia susulan siasatan mendapati empat buruh binaan warga Bangladesh yang dikhuatiri tertimbus itu sebenarnya sudah melarikan diri dari lokasi sebaik runtuhan berlaku.
Secara keseluruhan hanya lima mangsa terlibat dalam runtuhan itu yang mana tiga daripada maut manakala dua lagi parah dan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang. – MalaysiaGazette