KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memberitahu Dewan Rakyat bahawa kos baik pulih bangunan Parlimen menelan belanja lebih RM600 juta.
Azalina dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata kos berkenaan ditanggung kerajaan sejak 2011 lagi dengan kos iling asal yang telah diluluskan oleh Kerajaan pada 3 Ogos 2011 berjumlah RM520 juta.
“Pada 11 Mei 2017, Kerajaan telah meluluskan tambahan peruntukan sejumlah RM80 juta menjadikan keseluruhan peruntukan berjumlah RM600 juta.
“Pertambahan peruntukan ini adalah disebabkan oleh terdapat perubahan ketara pada skop projek, keperluan teknikal dan logistik serta perubahan terkini yang melibatkan transformasi Parlimen Malaysia.
“Pada 17 Februari 2023, Kerajaan sekali lagi telah meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM 26.1 Juta menjadikan keseluruhan peruntukan projek adalah berjumlah RM 626.1 Juta,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Azalina berkata demikian menjawab soalan lisan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang ingin kerajaan memperincikan status projek naik taraf bangunan Parlimen yang bermula pada 2011.
Mengulas lanjut, Azalina berkata pertambahan peruntukan ini adalah bagi memenuhi keperluan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan BOMBA dan keperluan fungsi Parlimen Malaysia selaras dengan keputusan Makmal Pengurusan Nilai Kerja-Kerja Membaik Pulih dan Menaik Taraf Bangunan Parlimen Malaysia bagi Fasa 2C yang telah dilaksanakan pada 8 hingga 12 Oktober 2018 dan kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 29 November 2019. – MalaysiaGazette